PETALING JAYA: Pergerakan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menampilkan imej baharu yang lebih inklusif, dinamik dan progresif bagi memfokuskan matlamat perjuangan yang sebenar.
Ketuanya, Hilman Idham berkata, Armada adalah masa depan Bersatu dan akan kembali memaknai peranan besar perjuangan anak muda.
“Sudah tiba masanya untuk seluruh kepimpinan Armada di semua peringkat khususnya yang telah dipilih untuk membingkai muafakat yang lebih erat demi pengukuhan Bersatu.
“Tidak ada mana-mana individu atau pemimpin yang kepentingannya lebih besar daripada kepentingan Bersatu sebagai wadah perjuangan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hilman, kepimpinan Armada tuntas berpegang kepada idealisme dan prinsip perjuangan parti yang luhur.
“Armada akan tampil dengan imej baharu yang lebih inklusif, dinamik dan progresif.
“Fokus dan matlamat kami jelas, perkukuh sayap Armada dan memperdaya jentera untuk menang pilihan raya,” katanya.
Semalam, Hilman memenangi jawatan Ketua Armada Bersatu dengan perbezaan hanya 170 undi berbanding pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dalam pemilihan parti itu.
Perkara tersebut diumumkan maklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.
Menurutnya, Hilman berjaya meraih 1,888 undi mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin yang mendapat 1,718 undi. – UTUSAN