APM Pulau Pinang kesan 124 'hotspot' banjir

APM Pulau Pinang kesan 124 ‘hotspot’ banjir

BEBERAPA anggota APM Pulau Pinang bersedia dengan peralatan masing-masing ketika sesi demonstrasi semasa program 'Kesiapsiagaan APM Pulau Pinang Dalam Menghadapi Peralihan Monsun' di pejabat Pertahanan Awam Daerah SPU di Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang berjaya mengesan sekurang-kurangnya 124 kawasan ‘hotspot’ atau lokasi yang berisiko untuk ditimpa bencana banjir di negeri ini.

Daripada jumlah itu, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 44 kawasan diikuti oleh Seberang Perai Utara (SPU) dengan 37 kawasan, Timur Laut (13 kawasan) serta masing-masing 15 kawasan di dua lagi daerah iaitu Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya.

Penolong Pengarah Sektor Operasi APM negeri, Mejar (PA) Kamal Jakarinah berkata, lokasi ‘hotspot’ itu diperoleh hasil perkongsian maklumat daripada agensi-agensi yang berkenaan dan ia akan dipantau serta dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Kesemua 124 kawasan ini ada kemungkinan berlaku banjir selepas ini dan ia tidak semestinya pernah (mengalami) banjir. Tapi, kebanyakan kawasan ini agak rendah, terletak berhampiran sungai serta cepat naik air terutamanya apabila berlaku hujan lebat. Ini yang kita kenal pasti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa program ‘Kesiapsiagaan APM Pulau Pinang Dalam Menghadapi Peralihan Monsun’ di pejabat Pertahanan Awam Daerah SPU di Bagan Jermal di sini, hari ini.

TIGA anggota APM Pulau Pinang menunjukkan demonstrasi menyelamatkan mangsa semasa program ‘Kesiapsiagaan APM Pulau Pinang Dalam Menghadapi Peralihan Monsun’ di pejabat Pertahanan Awam Daerah SPU di Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Dalam pada itu, Kamal memberitahu, sebagai persediaan tambahan untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025, APM negeri juga telah melaksanakan Program Kampung Siaga 221 Komuniti Berdaya Tahan Bencana yang melibatkan 570 peserta dari tujuh buah kampung terpilih di seluruh Pulau Pinang.

Katanya, menerusi program tersebut, penduduk berjaya dilatih untuk didedahkan dengan tindakan asas semasa berdepan dengan situasi bencana serta kecemasan.

“Latihan ini akan diadakan secara berterusan dengan menumpukan kepada kawasan berpenduduk yang dikenal pasti atau dinilai berisiko termasuk di kampung-kampung lain selepas ini,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, dari segi anggota dan aset terlibat pula, seramai 81 pegawai dan 429 anggota telah diarahkan untuk bersedia pada sebilang masa untuk diaturgerak sekiranya ada sebarang insiden luar jangka yang berlaku.

“Bagi aset darat pula, APM Pulau Pinang memiliki 11 buah ‘Light Rescue Vehicle’ (LVR), 14 buah ‘Medical Rescue Vehicle’ (MRV), tujuh buah Heavy Rescue Vehicle (HRV) serta enam buah MRV 4×4 (pacuan empat roda).

“Sementara itu, untuk aset air, kita ada 39 buah bot fiber, 15 unit ‘inflatable boat’ (bot pelampung), 11 unit bot aluminium serta dua unit (bot jenis) Amphibia,” katanya yang memaklumkan pihaknya juga sentiasa berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan cuaca semasa di Pulau Pinang.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya