APM guna peralatan terkini, tambah baik penugasan penyelamat pantai - Utusan Malaysia

APM guna peralatan terkini, tambah baik penugasan penyelamat pantai

ANGGOTA APM melakukan demonstrasi penyelamat pantai pada Majlis Penutup CDLC Tahun 2024 di Pantai Batu 5, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini meneliti penggunaan peralatan dan aset terkini yang dapat membantu menambah baik penugasan dalam operasi menyelamat mangsa lemas di pantai.

Menurut Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed, antara peralatan tersebut termasuklah pelampung penyelamat kawalan jauh dan juga dron penyelamat.

“APM akan mendapatkan peralatan-peralatan yang lebih baik seperti remote control lifebuoy dan juga dron yang membawa jaket penyelamat selain keperluan menambah aset seperti luncur jet (jet ski).

“Selain itu, keutamaan kepada latihan dan teknik menyelamat yang juga akan diberikan kepada petugas penyelamat pantai secara berterusan kerana jika tidak penggunaan peralatan itu tidak akan optimum,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Persidangan Penyelamat Pantai Pertahanan Awam (CDLC) Tahun 2024 di Pantai Batu 5, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid.

Seramai 67 orang peserta menyertai persidangan tersebut yang diadakan selama dua hari yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemahiran pegawai dan anggota APM sebagai petugas penyelamat pantai.

Dalam pada itu, Khairus Masnan turut memberitahu, peralatan dalam pengoperasian menyelamat di pantai yang dimiliki oleh APM ketika ini boleh dianggap sebagai yang terbaik berbanding negara-negara lain di rantau ini.

“Namun perkara yang boleh ditambah baik juga mungkin daripada segi peralatan, kita dalam proses meneliti peralatan-peralatan yang diperlukan, walaupun jika dibandingkan di rantau ni kita agak ke hadapan.

“Bagaimanapun, kita perlu melihat untuk tambah peralatan-peralatan sedia ada untuk kita menjalankan tugas menyelamat di pantai dengan lebih baik,” jelasnya.

Sementara itu, Aminurrahim memaklumkan, APM kini mempunyai sebanyak 42 menara penyelamat pantai dan enam stesen penugasan penyelamat pantai tanpa menara yang didirikan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berisiko tinggi di seluruh negara.

Selain itu katanya, antara aset penyelamat yang dimiliki pasukan tersebut ketika ini termasuklah jet ski, all-terrain vehicle (ATV), papan luncur dan juga bot.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN