Anwar terima pengiktirafan Pakistan

Anwar terima pengiktirafan Pakistan

ANWAR Ibrahim dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) Pakistan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikurniakan anugerah awam tertinggi Pakistan, Nishan-e-Pakistan oleh Presiden negara itu, Asif Ali Zardari dalam satu majlis di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr, hari ini.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan Pakistan atas kepemimpinan Anwar dalam menggalakkan dan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan.

Selain itu, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) Pakistan sebagai pengiktirafannya terhadap peranan pemimpin Islam peringkat antarabangsa.

Anwar menyifatkan penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang pendidikan, intelektualisme Islam dan dasar-dasar dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam.

Dalam majlis itu, beliau juga menyampaikan syarahan yang menekankan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan.

“Sewaktu syarahan umum, saya tekankan keperluan untuk Malaysia dan Pakistan bekerjasama dalam memerangi ekstremisme radikal dan keganasan melalui perkongsian risikan dan inisiatif secara bersama.

“Saya juga menekankan kepentingan memperkasakan belia dan wanita dan menekankan hubungan yang berakar umbi antara kedua-dua negara,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di Pakistan sejak Rabu lalu dan disambut oleh rakan sejawatnya, Shehbaz Sharif sendiri di Pangkalan Udara Nur Khan, Rawalpindi.

Beliau kemudian diberi sambutan rasmi di Kediaman Perdana Menteri Pakistan semalam disusuli dengan mesyuarat dua hala, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan pelancaran tiga karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke bahasa Melayu.

Sejurus pertemuan itu, Anwar berkata, Malaysia dan Pakistan menyatakan komitmen untuk mengukuhkan perkongsian bermanfaat bersama termasuk meningkatkan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Katanya, antara perkara yang akan diberi perhatian dengan segera ialah Malaysia akan meningkatkan import daging dan beras dari Pakistan.

Anwar berkata, Malaysia juga akan meningkatkan kerjasama dalam memperkasakan tenaga kerja mahir terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT), digital dan kecerdasan buatan (AI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya