Anwar terima baik permohonan maaf Najib

Anwar terima baik permohonan maaf Najib

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai selepas hadir menunaikan solat jumaat di Surau Ar-Rahman Presint 16, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf dibuat Datuk Seri Najib Razak berhubung salah laku berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“(Saya) terima baik….terima baik (permohonan maaf bekas Perdana Menteri),” katanya ringkas selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman Presint 16, Putrajaya hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.

Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Permohonan maaf Najib itu datang enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, Najib memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

Najib menambah, sepanjang tempoh menjalani hukuman penjara 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan signifikan berkaitan 1MDB, beliau terpanggil untuk membuat kenyataan itu.

Najib kemudian memetik artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Low Taek Jho atau Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.

Terdahulu, Anwar menyertai solat Jumaat di Jumaat di Surau Ar-Rahman Presint 16, di sini bersama lebih 1,000 jemaah.

Selesai solat, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah yang hadir sebelum beredar meninggalkan masjid.

Sebelum itu, Anwar turut berkesempatan menikmati sajian makan tengah hari di D’Laila Kitchen, Medan Sekerja Presint 16, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya