IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pihak yang terlalu mengagungkan atau taksub terhadap penggunaan bahasa Inggeris sehingga meremehkan bahasa Melayu.
Perdana Menteri berkata, terdapat kelompok yang terlalu ghairah atau obses terhadap penggunaan bahasa Inggeris sehingga mengabaikan bahasa Melayu dan menyifatkannya sebagai satu sikap yang keterlaluan.
Katanya, beliau tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan kepentingan bahasa Inggeris tapi tidak mendokong sikap golongan yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri dan mengagungkan bahasa lain.
Menurut beliau, mereka seolah-olah menganggap kejayaan dan kepintaran masyarakat hanya dengan menguasai bahasa Inggeris.
“Saya ingatkan golongan elit yang terlalu taksub kepada bahasa Inggeris bahawa mereka itu hidupnya di Malaysia, jadi mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya dalam memartabatkan bahasa Melayu.
“Mereka ini adalah beberapa elit yang sudah tercabut dari akar tradisi bangsanya terhadap bahasa sendiri.
“Walaupun kita membicarakan soal bahasa lain tetapi jangan sampai mengurangkan keutamaan atau menyamakan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.
“Kadangkala saya fikir adalah aneh juga kerana kita sudah merdeka 67 tahun tapi masih harus diberi penekanan terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini kerana sering kali muncul pandangan-pandangan terhadap bahasa Melayu yang saya lihat sudah hilang arah hilang dan hilang pedoman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.
Anwar berkata, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam dasar pendidikan kebangsaan tidak dimungkiri tetapi pelaksanaannya dalam masyarakat terutama sektor swasta perlu diberikan penekanan.
Katanya, swasta yang bersaing sehingga seolah-olah meremehkan kedudukan bahasa Melayu.
“Bagi swasta, saya antara yang menekankan penguasaan bahasa Inggeris dalam dunia mencabar dan penguasaan bahasa lain seperti bahasa Cina, Tamil dan Arab namun tak ada negara yang meningkat naik yang akan menyisihkan bahasa utama mereka,” katanya.
Berhubung penggunaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular, beliau berkata, apa sekali pun jurusan persekolahan yang memberi penekanan terhadap bahasa Mandarin dan bahasa Tamil, tidak perlu sama sekali dikurangkan penguasaan bahasa Melayu yang yang baik.
“Perkara ini ini sudah disepakati sudah termaktub dalam Perlembagaan dan harus diteruskan dengan komitmen,” katanya. – UTUSAN