Anwar rasmi majlis pecah tanah pusat data Google RM8.3b 

Anwar rasmi majlis pecah tanah pusat data Google RM8.3b 

ANWAR Ibrahim (tengah) semasa majlis pecah tanah pusat data Google dalam program Mantap Malaysia Bersama AI: A Google for Malaysia Event di sini, hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah pusat data dan rantau pengkomputeran awan Google bernilai AS$2 bilion (RM8.32 bilion) pada acara Mantap Malaysia Bersama AI: A Google for Malaysia Event di sini, hari ini. 

Google dalam kenyataan berkata, pusat data yang kini dalam pembinaan di Elmina Business Park, Selangor, akan menangani peningkatan permintaan terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan digital lain yang diguna setiap hari oleh individu dan organisasi di Malaysia.

Google menjangka menjana impak ekonomi lebih AS$3.2 bilion (RM13.32 bilion) selain mewujudkan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030. 

“Infrastruktur pengkomputeran awan dan pusat data Google di Malaysia akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud dan inovasi AI, perkhidmatan digital popular syarikat seperti Search, Maps, dan Google Workspace yang diguna oleh organisasi dan rakyat di Malaysia, serta berbilion orang di seluruh dunia pada setiap hari,” katanya dalam kenyataan. 

Majlis itu susulan pengumuman Google Cloud pada 2022 bagi mewujudkan rantau awan tempatan untuk kemudahan organisasi sektor awam, perniagaan kecil sederhana, syarikat pemula serta perusahaan besar dengan menyediakan perkhidmatan pengkomputeran, AI dan pembelajaran mesin yang lebih pantas dan mudah diakses.

Wilayah pengkomputeran awan itu menawarkan perkhidmatan berprestasi tinggi dan kependaman rendah yang membolehkan pelanggan menikmati aspek keselamatan data yang maksimum dan piawaian pematuhan, termasuk keperluan penyimpanan data yang khusus.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata, pelaburan Google dalam infrastruktur, kemahiran digital dan kelestarian mewakili kemajuan dalam usaha bersama kerajaan Malaysia mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan membawa manfaat AI kepada masyarakat dan syarikat tempatan. 

“Kami akan memperkasa individu dan perniagaan di Malaysia untuk berinovasi, berkembang, dan memanfaatkan potensi dalam era digital dengan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memuji kepantasan Google menubuhkan pusat data dan wilayah pengkomputeran awan di negara ini. 

“Kemudahan bertaraf dunia ini bukan sahaja akan memperkasa industri pembuatan dan perkhidmatan kami untuk memanfaat teknologi canggih seperti AI dan pengkomputeran awan, tetapi juga akan meningkatkan keupayaan industri kami untuk bersaing dalam rantaian nilai global.

“Sejajar matlamat pelepasan sifar bersih negara, kerajaan mengalu-alukan kepimpinan Google dalam mengendali operasi cekap tenaga, yang pasti akan menetapkan penanda aras nasional baharu dalam keberkesanan penggunaan tenaga dan air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya