Anwar mahu semua pihak beri kerjasama gaji minimum RM1,700

Anwar mahu semua pihak beri kerjasama gaji minimum RM1,700

ANWAR Ibrahim melihat replika Residensi Sentral pada Majlis Peluncuran Residensi Madani Putrajaya di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak memberikan kerjasama dalam pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kenaikan itu disifatkan setimpal demi membantu pekerja bawahan mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara dalam keadaan baik dan kemasukan besar pelaburan asing.

“Gaji minimum RM1700. Kalau saya tanya syarikat takkan ada keputusan, mustahil ada keputusan.

“Kita bukan naik RM2,500 atau RM3,000, kita naik RM1500 ke RM1,700 dan (pelaksanaan) berperingkat, bagi syarikat kecil pula kita bagi masa.

“Saya harap berilah kerjasama, sama-sama kita hadapi kerana ini saja kita boleh lakukan, ini dikatakan tekad politik. Tak semua orang akan senang dan bersetuju. Tapi inilah cabaran pimpinan,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Residensi Madani Putrajaya di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar sedia maklum mengenai kebimbangan pemain industri mengenai cadangan kenaikan gaji minimum serta peningkatan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti diumum pada Belanjawan 2025 lalu.

Baru-baru ini, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan kenaikan gaji minimum serta peningkatan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Presiden Kebangsaan SME Malaysia, Chin Chee Seong dilaporkan berkata, langkah itu mungkin memberikan tekanan kewangan yang tidak mampu ditanggung oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama pada saat perniagaan kecil masih dalam proses pemulihan selepas pandemik.

Menurutnya, walaupun usaha kerajaan untuk meningkatkan kebajikan pekerja dihargai, pelaksanaan dasar itu tanpa sokongan tambahan bakal menggugat kelangsungan sektor PKS.

PKS yang merangkumi lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia berdepan risiko besar jika cadangan ini tidak disertakan dengan mekanisme sokongan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya