PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Indonesia bermula hari ini atas undangan kerajaan negara itu bagi menghadiri Majlis Pelantikan Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia kelapan.
Ini termasuk meraikan majlis pelantikan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka yang diadakan di Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR), esok.
Menurut Kementerian Luar, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden baharu tersebut.
“Prabowo Subianto mengambil alih daripada Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia ketujuh selama dua penggal (2014–2019 dan 2019–2024).
“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas peranan Joko Widodo dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wisma Putra memaklumkan, Kerajaan Malaysia juga komited untuk meneruskan kesinambungan hubungan rapat di antara kedua-dua negara di bawah pentadbiran baharu Prabowo Subianto.
Katanya, lawatan ini melambangkan ikatan hubungan dua hala istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang ditunjangi kerjasama erat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.
Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ke-7 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-3 terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah dagangan mencapai AS$24.39 bilion (RM111.21 bilion). – UTUSAN