PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan bersama Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh, Prof Dr. Muhammad Yunus yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara Malaysia dan Bangladesh.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran Facebook Perdana Menteri.
“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di Dhaka, Bangladesh usai di Islamabad, Pakistan.
“Saya disambut sahabat baik saya Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh Profesor Dr. Muhammad Yunus dan dijadual mengadakan beberapa mesyuarat serta perbincangan yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara Malaysia dan Republik Rakyat Bangladesh,” katanya.
Terdahulu, pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal pada jam 2 petang waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).
Muhammad Yunus berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri, bersama Penasihat Bangladesh dan pegawai kanan kerajaan Bangladesh, serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim.
Anwar diberi sambutan permaidani merah termasuk tembakan meriam 19 kali dan kawalan kehormatan oleh anggota Angkatan Tentera Bangladesh.
Lawatan ini yang dilakukan selepas lawatan negara Anwar selama tiga hari ke Pakistan, akan menyaksikan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemenang hadiah Nobel, Muhammad Yunus.
Ia bertujuan berbincang dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bangladesh, di samping mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Anwar juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin sebelum berlepas ke tanah air hari ini. – UTUSAN