Anjung Komuniti diperluas untuk kurangkan KBT penagihan dadah

Anjung Komuniti diperluas untuk kurangkan KBT penagihan dadah

RUSLIN Jusoh (tengah) ketika sidang akhbar selepas menghadiri Program Jom Singgah@Anjung Komuniti Sungai Ara,di Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan memperluas inisiatif Anjung Komuniti ke seluruh negara dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri bagi mengurangkan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) penagihan dadah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, setakat ini, hanya kerajaan negeri Pulau Pinang yang menjalin kerjasama dengan agensi itu di peringkat negeri bagi memperkenalkan inisiatif tersebut.

Ruslin berkata, di Pulau Pinang, Anjung Komuniti diwujudkan sebagai alternatif yang berfungsi seperti hab serta pusat aktiviti dan operasi harian melibatkan kesemua rakan strategik, pemimpin selain komuniti setempat di bawah Jawatankuasa Kumpulan Penggerak KBT.

“Sudah pasti inisiatif Anjung Komuniti ini kita akan kembangkan ke negeri-negeri lain. Itu yang saya fikirkan untuk masa hadapan dengan harapan semua pihak (akan) bersama dengan kita.

“Ada sebahagian (kerajaan negeri) dalam perancangan, tetapi, libat urus itu belum lagi kita buat. Pulau Pinang adalah contoh terbaik (Anjung Komuniti),” katanya selepas menghadiri Program Jom Singgah@Anjung Komuniti Sungai Ara di sini, hari ini.

Menurut Ruslin, selain hab, pusat aktiviti dan operasi harian, Anjung Komuniti turut dijadikan sebagai pusat penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan dalam komuniti kepada klien dan ahli keluarga yang memerlukan.

“Sehingga ke hari ini, AADK Pulau Pinang telah mempunyai sebanyak enam buah Anjung Komuniti dengan tiga daripadanya terletak di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) iaitu Anjung Komuniti Guar Perahu, Anjung Komuniti Kuala Mengkuang dan Anjung Komuniti Bukit Teh.

“Pada masa yang sama, terdapat satu Anjung Komuniti di daerah Seberang Perai Utara (SPU) iaitu di Anjung Komuniti Bakau Tua, satu di Barat Daya (Anjung Komuniti Sungai Ara) dan Anjung Komuniti Desa Mawar yang terletak dalam daerah Timur Laut.

“Untuk rekod, bagi tempoh antara Ogos 2023 hingga Julai 2024 yang lalu, seramai 4,315 orang telah menerima perkhidmatan Anjung Komuniti ini meliputi 638 program anjuran AADK Pulau Pinang dengan kerjasama rakan strategik serta rakan pintar AADK yang lain,”katanya.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, Pelan Strategik AADK bagi tempoh antara 2021 hingga 2025 telah mengklasifikasikan sebanyak 155 kawasan tumpuan menerusi inisiatif program pengurangan KBT penagihan dadah di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, untuk tahun 2024 sahaja, inisiatif pengurangan KBT telah menyasarkan sebanyak 117 KBT (75 peratus) iaitu 39 KBT berstatus Kawasan Berisiko Rendah (KBR), 39 KBT berstatus pengekalan dan 39 KBT merupakan KBT semasa (2024).

“Hasil kerjasama yang digerakkan dengan semua pihak, usaha atau inisiatif ini telah mempamerkan satu pencapaian yang positif,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya