IPOH: Seorang anggota polis yang bertugas di sebuah balai polis di Bagan Datuk ditahan selepas disyaki memeras ugut seorang pekebun sawit di Langkap, Isnin lalu.
Tangkapan terhadap anggota berusia 40 tahun itu dibuat pada pukul 7 petang semalam, susulan laporan polis dibuat mangsa pada hari sama.
Difahamkan, pemerasan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dibuat suspek bagi membantu menyelesaikan kes lampau mangsa berkaitan kes urin.
Suspek dikatakan telah meminta wang sebanyak RM2,000 daripada mangsa namun lelaki tersebut memaklumkan dia tiada wang sebanyak itu dan meminta tempoh untuk menyediakan wang berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan penahanan anggota polis tersebut di kawasan Hutan Melintang semalam.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap penjawat awam itu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pemerasan.
“Subjek adalah seorang lelaki yang bertugas sebagai anggota polis dalam daerah Bagan Datuk di mana dia ditahan untuk siasatan kes memeras ugut.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan saya sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana individu sekiranya didapati melakukan kesalahan yang mencemarkan nama pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Pelaksanaan Nyanyian Lagu Negaraku dan Lafaz Ikrar Rukun Negara Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Azizi memberitahu, pihaknya sedang memburu suspek curi kereta dalam beberapa kejadian di negeri ini dengan kes terbaru di Jelapang, kelmarin.
Katanya, siasatan juga sedang dijalankan sama ada kegiatan itu membabitkan penglibatan sindiket.
“Kita dapat lihat trend jenayah sekarang adalah ke arah curi kenderaan mewah. Sehubungan itu, operasi akan diadakan bagi memburu suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya. – UTUSAN