KUANTAN: Anak polis bantuan dan tukang jahit adalah dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah umpsa) yang berlangsung hari ini.
Anak polis bantuan berkenaan, Fatini Nasuha Ahmad Puad, 23, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).
Anak tukang jahit, Choong Wai Kit, 24, pula adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) juga dari fakulti sama.
Fatini Nasuha berkata, pengiktirafan itu adalah kejayaan bersama dengan bantuan pensyarah dan rakan seperjuangan selama empat tahun pengajian di UMPSA.
“Secara jujurnya, saya bukanlah datang dari keluarga senang. Ayah seorang polis bantuan manakala ibu saya suri rumah. Kedua-duanya sudah berusia.
“Tahun pertama (memulakan pengajian) adalah waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan agak sukar mengadaptasi pengajaran dan pembelajaran (PdP). Tetapi Alhamdulillah dengan bantuan rakan dan pensyarah, dapat mengharunginya juga,” katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.
Bagi Wai Kit pula, dorongan dan semangat diberikan ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal membolehkannya mencapai kejayaan.
“Selain ibu, kakak saya banyak memberi bantuan dari pelbagai sudut termasuk sokongan moral walaupun berada jauh di Singapura,” kata anak bongsu dari dua beradik yang berasal dari Kampar, Perak itu.
Dalam pada itu, Majlis Konvokesyen Kali ke-19 UMPSA menyaksikan seramai 5,115 graduan bagi tahun ini yang berlangsung tiga hari mulai hari ini di Dewan Kompleks Sukan Universiti, UMPSA Gambang.
Naib Canselor UMPSA, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainudin berkata, Pro-Canselor UMPSA, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berangkat menyempurnakan istiadat pemasyhuran konvokesyen. – UTUSAN