Anak mimpi Sabari pulang naik kereta Proton Waja yang dibakar - Utusan Malaysia

Anak mimpi Sabari pulang naik kereta Proton Waja yang dibakar

MUHAMMMAD Amir Hakimi (kanan) bersama dua kakaknya menunjukkan gambar kenangan bersama bapa mereka ketika ditemui di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Sejak kehilangan Sabari Baharom, 62, bermula 4 September lalu, ‘kelibat’ pesara Felcra itu hanya muncul sekali dalam mimpi anak bongsunya.

Malah, mimpi Sabari pulang ke rumah menaiki kereta Proton Waja dengan wajah gembira itu dialami Muhammad Amir Hakimi, 25, sebelum kenderaan itu ditemui musnah dipercayai akibat dibakar suspek di tapak pembuangan sampah di Pulau Belantik, Sik pada 20 September lalu.

“Saya mimpi ayah balik rumah naik kereta Proton Waja yang dibakar itu dengan muka gembira, seolah-olah macam tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Ayah juga sering pesan jangan sombong dengan orang dan dia juga tidak menggelapkan cermin keretanya sebab dia kata senang nak angkat tangan dan tegur orang. Kalau cermin gelap orang tak nampak dia,” katanya ketika ditemui di rumah Sabari di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini.

Menurutnya, kehilangan Sabari memberi kesan mendalam kepadanya dan dua kakak, Suraiya Izzaty, 29, dan Nur Aina Sofiya, 28, yang masing-masing tidak dapat menerima dan memaafkan perbuatan suspek.

“Saya minta maaf mengatakan bahawa kami tidak akan memaafkan suspek sampai bila-bila, sebab ayah baik dengan dia, baik dengan semua orang tetapi dia sanggup buat benda ini. Orang baik memang banyak, pak cik saya baik, bapa mentua saya tetapi ayah tiada ganti,” ujarnya.

Tambah Muhammad Amir Hakimi, dia juga sehingga kini sering terbayang wajah suspek selepas diminta polis untuk membuat pengecaman baru-baru ini.

“Kalau saya jumpa suspek, saya tidak mahu tengok muka dia lagi. Waktu buat pengecaman, bila polis tanya kenal atau tidak, saya tidak mahu tengok lama-lama sebab nanti trauma bila teringat muka orang yang bunuh ayah.

“Kalau boleh nak lupakan muka dia, walaupun sekarang ini dalam kepala masih lekat iras muka dia. Bila bangun tidur pun ingat wajah dia, sebolehnya nak lupakan sebab tak mahu ganggu kami di masa depan,” jelasnya.

Sementara itu, harapan mereka tiga beradik masih sama buat masa ini iaitu jasad Sabari ditemui suatu hari nanti waima dalam apa jua keadaan, selain kedua-dua suspek menerima hukuman setimpal atas perbuatan kejam dilakukan.

Semalam, lebih 200 jemaah Masjid Al Mutmainnah di Kampung Mengkuang yang sering dikunjungi Sabari menunaikan solat hajat bagi memohon agar jasad pesara Felcra itu dapat ditemui.

Muhammad Amir Hakimi berkata, dia tidak dapat menahan kesedihan apabila teringat kenangan bersama bapa menunaikan solat berjemaah di masjid tersebut.

“Saya sebak bila masuk ke masjid ini sebab teringatkan ayah. Saya datang ke masjid ini dengan ayah sejak kecil lagi, kami datang bersama-sama dengan menaiki Perodua Kancil ayah.

“Ayah biasanya pilih di saf sebelah kiri, memang itu tempat dia. Orang masjid di sini juga beritahu ayah memang datang menunaikan solat lima waktu berjemaah di sini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya