Anak Khir Rahman bukan antara mangsa buli sekolah asrama

Anak Khir Rahman bukan antara mangsa buli sekolah asrama

KHIR RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Khir Rahman, menegaskan anaknya bukan antara anak selebriti yang menjadi mangsa buli pelajar senior di sebuah sekolah asrama di sini seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Tampil menjelaskan perkara itu, kata Khir, laporan yang mengaitkan anaknya dengan kes tersebut adalah tidak benar justeru diharap dapat diperbetulkan agar tidak menimbulkan kekeliruan.

“Anak saya tidak dibuli. Tapi mungkin namanya dipetik kerana dia berkawan dengan anak Tam Spider. Bukan sahaja anak Tam, malah anak artis lain yang belajar di sekolah itu juga saya kenal.

“Apa pun, saya sokong perjuangan ibu bapa yang mahu isu buli ini dihentikan. Pembabitan guru-guru yang merahsiakan perkara ini demi menjaga nama baik sekolah juga wajar dihentikan.

“Janganlah hanya kerana anak saya tidak kena buli, saya tidak sokong. Bagaimana kalau suatu hari nanti dia pula yang menjadi mangsa?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Khir Rahman mengulas mengenai 12 laporan kes buli yang turut membabitkan anak artis di sebuah sekolah asrama baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan telab menerima 12 laporan kes buli di sebuah sekolah berasrama di sini yang turut membabitkan anak kepada vokalis kumpulan Spider, Tam.

Siasatan awal mendapati semua mangsa terdiri daripada pelajar berusia antara 14 hingga 16 tahun dan pembuli terdiri daripada pelajar berusia 17 tahun.

Terbaharu, pihak sekolah berasrama berkenaan merancang untuk menganjurkan pertemuan antara ibu bapa pelajar yang membuli dengan mangsa sekitar minggu hadapan.

Mengulas tentang itu, Khir berharap muncul pihak lain yang bertindak sebagai pendamai demi memastikan kelancaran pertemuan tersebut.

“Saya fikir perlu ada pihak pendamai kerana kita risau keadaan menjadi tegang dan beremosi.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan secara baik, dengan mengikut pendekatan Islam. Kita mahu hukum kesalahannya.

“Ramai anak yang nakal waktu kecil menjadi baik ketika meningkat dewasa. Apa pun kita tidak mahu kesalahan ini dilepaskan hanya kerana mereka masih kanak-kanak. Jadi perlu ada hukuman setimpal,” tambahnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN