Anak harap pembunuh Sabari dapat balasan setimpal - Utusan Malaysia

Anak harap pembunuh Sabari dapat balasan setimpal

SURAIYA Izzaty Sabari (dua kanan) dan Ismail Baharom (kiri) hadir ke Mahkamah Majistret bagi mengikuti proses pendakwaan terhadap dua suspek yang membunuh Sabari Baharom di Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Anak sulung kepada mangsa pembunuhan, Sabari Baharom mengharapkan suspek yang telah dituduh membunuh bapanya akan menerima balasan setimpal.

Suraiya Izzaty Sabari, 29, berkata, dia mahu keadilan dapat ditegakkan terhadap kejadian menimpa bapanya itu selain menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Setiap negara ada undang-undang dan kita tak boleh lah buat suka-suka hati dan anggap kita boleh terlepas. Saya harap mereka akan dapat balasan yang setimpal.

“Saya sangat sedih, sampai hati mereka buat ayah macam itu. Pertama kali saya tengok mereka walaupun tak nampak sangat muka dan hari ini saya datang untuk adik-adik saya, kami setiap hari berdoa agar dapat jumpa mayat ayah supaya kes ini menjadi lebih mudah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Suraiya Izzaty bersama bapa saudaranya, Ismail, 69, yang juga abang Sabari antara yang hadir bagi mengikuti prosiding pendakwaan terhadap kedua-dua suspek yang dilakukan di Mahkamah Majistret Jitra, di sini.

Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd. Asyraf Idris, 26, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian.

Perdakwaan ke atas mereka yang bekerja sebagai kontraktor dan pekerja kilang itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama-sama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Sabari, 62, di titi Kampung Empa, Sungai Padang Terap, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 4 September lalu.

Sementara itu, ujar Suraiya Izzaty, dia juga akan cuba mengikuti setiap prosiding perkembangan kes bapanya di mahkamah kelak.

Dalam pada itu, Ismail berkata, dia sering berkunjung ke titi di Kampung Empa yang menjadi lokasi adiknya dicampak dengan tangannya diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

“Saya masih menaruh harapan agar jasad adik ditemui walau dalam apa cara sekali pun sama ada hanya cebisan dan sesiapa yang menjumpai apa-apa maklumkan kepada polis.

“Saya dan ahli keluarga kami turut lega apabila kedua-dua suspek telah dibawa ke mahkamah hari ini untuk tujuan pengadilan dan sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Sabari yang juga bekas pegawai kewangan Felcra didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan.

Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarganya kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Jumaat lalu namun mangsa tiada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN