Anak ‘Abuya’ selesai tunjuk lokasi rumah dikurung pengikut GISBH - KPN

Anak ‘Abuya’ selesai tunjuk lokasi rumah dikurung pengikut GISBH – KPN

PENGAMAL media dilihat berada di lokasi berhampiran rumah dipercayai tempat anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyah didakwa dikurung di Perkampungan Maahad Sayuti, Kampung Batu Hampar Dalam, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyah selesai dibawa ke  Perkampungan Maahad Sayuti dipercayai lokasi didakwa dikurung kira-kira sebulan di Kampung Batu Hampar Dalam, Perak, hari ini.

Mengesahkan perkara itu, Tan Sri Razarudin Husain berkata, wanita berusia 41 tahun itu telah menunjukkan rumah yang telah digunakan oleh pengikut GISBH untuk mengurungnya. 

Katanya, ini susulan hasil keterangan yang diambil terhadap wanita terbabit pada 11 pagi di Balai Polis Padang Gajah, Perak.

“Hasil rakaman percakapan, pengadu (Ummu Atiyah) menyatakan bahawa telah dikurung di dalam sebuah rumah dua bilik kira-kira sebulan.

“Pengadu cuba melarikan diri namun telah ditangkap dan dikurung semula,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Menurut Razarudin, susulan itu, Ummu Atiyah telah dibawa ke lokasi bersama pegawai penyiasat dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Taiping. 

“Dia telah menunjukkan rumah digunakan pengikut GISBH untuk mengurungnya sebelum dihantar kepada neneknya di Kedah. 

“Proses pengecaman lokasi kejadian oleh pengadu berjalan lancar,” katanya. 

Terdahulu, Razarudin mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan susulan pendedahan dibuat Ummu Atiyah berhubung dakwaan dikurung itu.

Beliau turut mengesahkan Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye, sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar.

Katanya, pengadu memberitahu perkampungan terbabit dihuni ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan usia 13 dan ke atas. 

“Dia mendakwa dikurung dalam sebuah bilik di rumah setingkat kira-kira sebulan serta tidak diberi kemudahan menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.

“Dia juga menyatakan beberapa kali cuba untuk melarikan diri dari perkampungan itu, namun ditangkap oleh penghuni lain. 

“Pengadu menyatakan dia cuba melarikan diri kerana tidak tahan perbuatan pengikut GISBH yang mengurung dan memisahkannya dengan anaknya,” katanya.

Menurutnya,  mangsa pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Taiping sekitar 2018 dan kini sedang mengambil ubat di Hospital Melaka.

“Laporan dan keterangan perubatannya sedang dalam proses diperoleh,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan empat lelaki yang terbabit mengurung mangsa bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya