MELAKA: Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) Ke-11 yang bermula hari ini merupakan platform terbaik untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Malaysia menjangkakan kehadiran kira-kira 35.6 juta pelancong, sekali gus dapat menjana RM47.1 bilion sepanjang kempen tersebut.
Beliau berkata, dalam konteks pelancongan budaya ASEAN, Tahun Melawat Malaysia 2026 secara tidak langsung memberi peluang untuk memasarkan semua wilayah di rantau ini kepada pelancong yang melawat negara.
“Terdapat banyak peluang kepada pihak berkepentingan bagi pemain industri pelancongan di seluruh rantau ini untuk bekerja bersama dan memberi manfaat secara keseluruhan.
“Saya ulangi komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dalam budaya dan seni dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN serta dengan rakan dialog kami dari China, Jepun dan Korea,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian AMCA Ke-11, Mesyuarat Pegawai Kanan Ke-20 mengenai Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA) serta Mesyuarat Berkaitan Rakan Dialog di Banda Hilir di sini, hari ini.
Seramai 10 menteri pelancongan dan kebudayaan dari negara anggota ASEAN hadir pada AMCA Ke-11 yang berlangsung selama tiga hari dan turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Him Hourn.
Tambah King Sing, mesyuarat itu amat penting buat seluruh anggota menyelesaikan masalah serantau untuk budaya dan seni serta bekerjasama meningkatkan pemahaman silang budaya serta solidariti rakyat ASEAN.
Menurutnya, untuk tempoh dua tahun akan datang, Malaysia selaku Pengerusi AMCA bercita-cita meneruskan usaha besar Laos dalam mengekalkan seni dan budaya. – UTUSAN