Ambulans bawa wanita mahu bersalin langgar lembu

Ambulans bawa wanita mahu bersalin langgar lembu

KEADAAN ambulans selepas merempuh lembu di Kilometer 30, Jalan Gua Musang, Kuala Krai, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebuah ambulans yang membawa seorang wanita yang hendak bersalin terbabit dalam kemalangan selepas merempuh seekor lembu di Kilometer 30, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Bagaimanapun, wanita berkenaan termasuk pemandu ambulans dan doktor terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian ambulans dari Hospital Gua Musang dalam perjalanan untuk menghantar pesakit yang hendak bersalin ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian seekor lembu telah melintas secara tiba-tiba dan kemudian telah melompat ke arah ambulans yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar lembu tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, pesakit wanita berkenaan selamat dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra dengan menggunakan ambulans bantuan dari Hospital Gua Musang.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di kawasan tiada lampu jalan pada waktu malam.

“Pemilik haiwan akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya haiwan ternakan mereka dibiarkan berkeliaran sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duannya jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Choon Foo berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 012-4027283.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya