KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Raisa, tidak menyangka idolanya sejak kecil, Datuk Seri Siti Nurhaliza berbesar hati mahu membantu mempromosikan konsertnya yang bakal diadakan pada 3 November nanti.
Cerita Raisa atau Raisa Andriana, 34, pertemuannya dengan penyanyi nombor satu negara itu berlaku tanpa dirancang apabila mereka terserempak semasa sesi semakan bunyi di sebuah program televisyen, baru-baru ini.
“Semalam saya dapat dengar suaranya semasa sesi soundcheck. Itupun sudah sangat bagus. Bila berjumpa beliau, saya jadi sangat berdebar.
“Kemudian saya terkejut dia sangat baik, tiba-tiba mahu bantu promosikan konsert. Saya jadi malu.
“Rupanya inilah perasaan mengidolakan seorang penyanyi dan akhirnya boleh bersemuka. Beliau memiliki aura yang sangat baik, Alhamdulillah,” katanya.
Raisa ditemui Utusan Malaysia di ditemui di Silverfox, Jalan Doraisamy di sini, baru-baru ini.
Malah, penyanyi Kali Kedua itu mendedahkan sejak kecil, dia selalu mengagumi kemampuan vokal yang ada pada Siti Nurhaliza.
“Beliau adalah insan yang menjadi inspirasi kepada saya sejak masih kecil.
“Sehingga hari ini, saya merasakan kemampuan vokalnya adalah satu satu yang terbaik pernah saya saksikan sepanjang hidup.
“Jadi saya menyimpan harapan untuk menyanyi semantap beliau,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai konsert ketiganya di Kuala Lumpur, Raisa menjanjikan pengalaman persembahan yang lebih baik dari susunan muzik, permainan lampu dan kesan audio visual yang dibawakan sepenuhnya daripada pasukannya di Indonesia.
Konsert Raisa Teristimewa Di Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 3 November depan di Megastar Arena bakal menyajikan lagu-lagu hit penyanyi itu seperti Kali Kedua, Jatuh Hati dan Mantan Terindah serta 20 buah lagu dengan iringan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia. -UTUSAN