SEOUL: Penyanyi dan ahli kumpulan Blackpink, Rose, tidak akan makan pada waktu malam demi mengekalkan tubuh yang langsing.
Bukan itu sahaja, penyanyi APT itu juga mengakui wajahnya mudah nampak tembam selepas menikmati makanan pedas.
“Saya jenis yang mudah nampak tembam bila makan makanan pedas dan pada waktu malam. Masalahnya, saya suka makan tengah malam.
“Oleh itu kalau ada kerja atau penggambaran, saya elak makanan pedas pada lewat malam. Kadang saya tidak makan langsung.
“Selalunya bila tengah malam saya mulalah mengidam tteokbokki. Tapi saya ganti dengan makan sayur. Habis sahaja kerja, memang saya akan terus pergi makan,” kongsinya.
Rose berkata demikian ketika menjawab satu pertanyaan peminat di sesi soal jawab majalah fesyen antarabangsa.
Ketika ditanya apakah perkara yang paling menggembirakannya, Rose atau Roseanne Chae-young Park, 27, sangat menyukai orang-orang yang memuji suaranya.
“Saya akan jadi sangat gembira sekiranya menerima pujian mengatakan saya penyanyi yang bagus. Saya bukan orang yang selalu tunjuk apa yang dirasa. Ahli blackpink pun tak boleh baca hati saya.
“Jadi teruskanlah puji saya penyanyi yang bagus. Saya sangat suka,” katanya. -UTUSAN