Aktivis dilepas, bebas tuduhan sebar berita palsu Covid-19 - Utusan Malaysia

Aktivis dilepas, bebas tuduhan sebar berita palsu Covid-19

MUHAMMAD Zaki Omar (kiri) dan isteri, Masyitah Md Hassan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menyebar berita palsu mengenai kematian anggota polis akibat vaksin Covid-19, tiga tahun lalu. UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang aktivis kesihatan awam daripada pertuduhan menyebar berita palsu kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin Covid-19, tiga tahun lalu.

Hakim Rohaida Ishak membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan yang mewakili Muhammad Zaki Omar, 39, berjaya me­nimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes.

“Setelah mahkamah menimbangkan kesemua keterangan lisan dan dokumentasi yang dikemukakan di sepanjang perbicaraan dan hujahan yang difailkan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pihak pendakwaan.

“Ini bermaksud pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes yang melangkaui keraguan yang munasabah terhadap tertuduh.

“Dengan keputusan ini, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” kata Rohaida.

Sementara itu, peguam Asiah Abd. Jalil yang mewakili tertuduh yang ditemui selepas prosiding berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa niat tertuduh ketika memuat naik hantaran adalah untuk menuntut pampasan bagi pihak mangsa vaksin bukan menyebarkan berita tidak benar.

“Niat tertuduh adalah untuk menuntut pampasan bukan menyebarkan berita tidak benar atau menimbulkan kegusaran mahupun kegentaran awam,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Zaki didakwa telah menggunakan aplikasi Facebook menerusi profil akaun Muhammad Zaki Omar dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam kira-kira pukul 11.39 malam, 3 April 2021.

Muhammad Zaki telah menyebarkan berita tidak benar iaitu ‘Akhirnya di Gerik hari ini diperakui satu kematian berlaku melibatkan anggota polis. Komplikasi suntikan vaksin dos ke-2. Semoga kebajikan ahli keluarga arwah terjaga. #500k’ yang telah dibaca pada 4 April 2021 kira-kira pukul 9 pagi di pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Gerik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik’.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan dan Datin Yasinnisa Begam Seeni Mohideen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya