KLANG: Akta baharu tahanan rumah disasarkan hanya kepada kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu dan berkelayakan selepas menjalani proses tapisan penuh kerajaan.
Antara kriterianya seperti pesalah pertama yang tidak melibatkan kesalahan atau hukuman berat, wanita mengandung, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sebelum ini melaksanakan tiga dasar iaitu parol, perintah kehadiran wajib serta pembebasan berlesen dan pemerhatian mendapati sekitar 15 hingga 17 peratus pesalah berkenaan kembali melakukan jenayah selepas tiga tahun dibebaskan.
“Satu daripada 700 bekas tahanan kembali lakukan jenayah lepas tiga tahun. Justeru, pemulihan dalam komuniti dan kita kategorikan prospek yang layak berdasarkan akta tahanan rumah ini kelak sekitar 20,000 orang.
“Ia melibatkan pesalah kali pertama iaitu kesalahan tidak serius seperti ibu tunggal dipenjara kerana mencuri susu akibat dihimpit kemiskinan. Selain itu, kita sasarkan mereka (pesalah) yang sakit, OKU dan warga emas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja, semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan bersesuaian iaitu rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau Pegawai Penjara.
Namun, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mempersoalkan jika rang undang-undang itu bertujuan memberi manfaat kepada pihak tertentu dan tidak sesuai diterapkan kepada mereka yang melakukan jenayah berat.
Bagaimanapun, Saifuddin menjelaskan, cadangan merangka akta itu dibuat kerana isu kesesakan serius di 43 penjara utama seluruh negara yang menyebabkan keadaan tidak kondusif.
“Peratusan kesesakan penjara kini mencecah 11 peratus iaitu seramai 82,000 tahanan berbanding kapasiti ditetapkan iaitu hanya 74,000 orang.
“Oleh itu, kita perlu melakukan sesuatu bagi mengatasinya kerana pesalah dikategorikan kepada dua iaitu mereka yang telah disabitkan bersalah dan tahanan reman,” ujarnya.
Katanya lagi, akta tahanan seumpama itu turut sudah dilakukan puluhan negara besar lain seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Australia.
“Pada waktu ini, beri kerajaan ruang dahulu bagi penggubalan akta baharu berkenaan kelak. Kita akan membentangkan akta itu tahun depan dan turut akan dibahaskan oleh semua Ahli Parlimen,” katanya. – UTUSAN