PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pekerja GIG di Dewan Rakyat pada Disember depan sejurus selesai perbahasan Belanjawan 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, akta itu akan dibentangkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang merangkumi aspek keselamatan pekerja dalam industri berkenaan.
Beliau berkata, akta berkenaan juga akan melibatkan perlindungi di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) termasuk pembiayaan kos rawatan kepada pekerja GIG dan perlindungan sehingga 24 jam.
“Saya mencadangkan kos rawatan, perubatan juga dimasukkan walaupun kita tahu ini akan memberikan implikasi kewangan. Tetapi kita harus mengambil peduli dan kita akan bincangkan secara terperinci dengan KESUMA, MOF (Kementerian Kewangan) dan Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi GIG.
“Inilah permintaan daripada pekerja GIG kerana mereka terdiri dalam kategori usia 19 hingga 34 tahun tapi suatu ketika nanti mereka akan capai umur lebih tinggi dan perlu rawatan dan perubatan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi GIG Malaysia MADANI di sini, hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid berkata, seramai 1.16 juta pekerja terbabit dalam pelbagai industri GIG di negara ini.
Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang peduli, bukan soal kebajikan sosial yang dilihat tetapi mahu pekerja GIG ini mendapat pekerjaan tetap suatu hari nanti.
Jelasnya lagi, dalam keadaan situasi ekonomi keluarga, maka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu sediakan peluang agar mereka mendapat kemahiran diperlukan.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahka KESUMA supaya merangka Rang Undang-Undang (RUU) pekerja gig bertujuan memberi perlindungan yang lebih baik untuk golongan itu. – UTUSAN