Akta 852: Kerajaan tak akan 'u-turn' - Dr. Dzulkefly

Akta 852: Kerajaan tak akan ‘u-turn’ – Dr. Dzulkefly

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan melakukan pusingan ‘U’ dalam pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu.

Komitmen terhadap pelaksanaan Akta 852 bukan sahaja didukung oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) malah ia turut disokong penuh kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebarang nasihat atau cadangan daripada industri komersial yang mahu Akta 852 ditangguhkan, tidak akan mengubah apa juga keputusan yang telah diambil kerajaan.

“Kerajaan tidak akan berbelah bahagi terhadap komited melaksanakannya selepas bertungkus lumus membentangkan Akta 852 ini dan kemudian memastikan Dewan Rakyat serta Dewan Negara meluluskannya dan memperoleh kelulusan Jabatan Peguam Negara.

“Sememangnya sebarang (nasihat atau cadangan daripada industri komersial mengenai antirokok) pada ketika ini, kerajaan tidak akan berpatah balik dengan ketetapan yang sudah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘Cik Era Chatbot’ melalui Laman Sesawang Jomquit di Prince Court Medical Centre di sini, hari ini.

Pendirian itu juga sebagai mengulas gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mahu KKM tidak tunduk dengan apa sahaja permintaan industri komersial atau membuat ‘pusingan U’ berhubung pelaksanaan akta itu.

Akta 852 membuat regulasi ketat merangkumi pembekalan, pengiklanan, paparan dan promosi produk merokok dan vape.

Akta yang diwartakan pada 2 Februari lalu itu berkuat kuasa serentak dengan peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober lalu.

Dr. Dzulkefly berkata, bermula tarikh penguatkuasaan 1 Oktober lalu, KKM dengan penuh komitmen melaksanakan pendekatan berhemah dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti.

Katanya, walaupun kerajaan masih terbuka untuk berunding dan melaksanakan libat urus tetapi tidak akan membuat keputusan berpatah ke belakang.

“Jadi tiada isu ‘berpatah balik’ kerana kerajaan komited melaksanakannya dengan penuh bertanggungjawab.

“Kita mahu pemilik dan pemain industri bersama kerajaan dan memahami mengapa produk tembakau perlu dikawal selia.

“Ini bertepatan dengan program berhenti merokok, sangat mustahak mereka memahami bukan saja dari sudut komersial, tetapi mengambil tahu hasrat KKM berkenaan akta itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya