Akta 212: KPDN laksana dua langkah interim lindungi hak pengguna 

Akta 212: KPDN laksana dua langkah interim lindungi hak pengguna 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada Program Lawatan Kerja ke Carsome, sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng (dua dari kiri), di Petaling Jaya, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) laksana dua langkah interim untuk melindungi hak pengguna melibatkan tebus rugi bagi pembelian kenderaan bermotor di bawah Akta Sewa Beli (Akta 212).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah pertama adalah dengan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memproses permohonan surat persetujuan daripada pengguna.

“Surat persetujuan daripada pihak bank boleh digunakan oleh pengguna yang membeli kenderaan melalui pinjaman untuk membuat tuntutan tebus rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi kenderaan bermotor baharu yang rosak dan tidak dapat dibaiki,” katanya ketika menghadiri Program Lawatan Kerja ke Carsome di sini, hari ini. 

Pada masa sama, kata beliau, institusi perbankan juga diminta untuk menubuhkan unit dalaman khusus untuk menerima dan memproses sebarang permohonan surat persetujuan daripada pengguna. 

Bagi langkah kedua, pihak KPDN menubuhkan Pasukan Rundingan Khas berkaitan aduan kenderaan bermotor.

Menurut beliau, pasukan khas itu sebagai pemudah cara untuk pengguna menyelesaikan sebarang masalah atau melakukan aduan kepada KPDN.

“Kaedah rundingan yang digunakan adalah kaedah rundingan ‘Tripartite’ antara Kementerian, pembeli kereta dan pengedar,” tambahnya.

Armizan berkata, kedua-dua Inisiatif itu dilaksanakan oleh KPDN sebagai langkah sementara dalam melindungi hak pengguna sebelum kerangka perundangan baharu berhubung ‘Lemon Law’ dimuktamadkan.

Pada Julai lalu, KPDN menjalankan kajian untuk menggubal perundangan berkaitan ‘Lemon Law’ bagi mewujudkan kerangka perundangan berkaitan pertikaian kenderaan yang mengalami kerosakan supaya pengguna mendapat perlindungan yang komprehensif.

Kajian itu bermula pada Jun hingga September, membabitkan pelantikan perunding terdiri daripada pakar perundangan untuk melaksanakan reformasi undang-undang. 

Katanya, hal itu sejajar dengan kehendak dan tuntutan semasa yang mana banyak isu berbangkit termasuk berkaitan Lemon Law dan menuntut kerajaan melaksanakan reformasi.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kajian ‘Lemon Law’ Armizan berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa sesi temubual bersama pemegang taruh dan pemain industri.

“Pihak kita juga telah mengarahkan beberapa cadangan baharu untuk kemukakan kajian penuh pada November nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya