KUALA SELANGOR: Perjalanan pulang seorang pekerja swasta bertukar tragedi apabila maut selepas motosikalnya berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 1.5 Jalan Kuala Selangor-Rawang di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu menyebabkan lelaki tempatan berusia 36 yang menunggang Yamaha Y15zr itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azharudin Tajuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Raja Musa, di sini.
“Sewaktu kejadian, penunggang motosikal itu berada di lorong kiri sebelum sebuah lori dari arah bertentangan membelok ke kanan untuk memasuki simpang jalan berkenaan.
“Mangsa kemudian menekan brek namun gagal mengawal dan melanggar bahagian pagar kiri lori tersebut,” katanya malam ini.
Tambah beliau, mayat mangsa yang parah di kepala itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi proses bedah siasat.
“Pemandu lori berusia 31 tahun itu pula tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – UTUSAN