KLANG: Sebahagian besar kawasan-kawasan perumahan dan perniagaan di Pelabuhan Klang yang meliputi wilayah Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Selatan masing-masing di Klang Utara dan Selatan serta Pelabuhan Barat di Pulau Indah dilanda banjir berikutan fenomena air laut pasang besar, hari ini.
Air laut dikesan naik seawal pukul 6 pagi dan mencapai tahap tertinggi 5.8 meter seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kira-kira 17 minit kemudian dan menyebabkan kesesakan di jalan-jalan utamanya.
Antara kawasan yang dikesan terjejas seperti di Jeti Pelabuhan Klang, Lorong Berembang, Jalan Limbungan, Jalan Syahbandar, Taman Teluk Gedung Indah, Teluk Gong dan Pulau Indah.
Di Teluk Gong, kawasan perindustrian dan perkampungan hampir terputus hubungan apabila satu-satunya jalan masuk dan keluar di situ dilimpahi air melepasi 0.5 meter yang hanya boleh dilalui kenderaan besar.
Malah, turut berlaku kesesakan lebih satu kilometer (km) di kedua-dua arah apabila pengguna memberhentikan kereta masing-masing dan menunggu air surut.
Tinjauan di Taman Teluk Gedung Indah, kawasan perumahan itu mula dinaiki air dari bahagian bersebelahan anak sungai yang memasuki longkang-longkang dan menenggelamkan lebih 30 buah rumah di Taman Sama Gagah dan Taman Sungai Gagah.
Seorang penduduk di Jalan Sama Gagah 18, Aru, 70, berkata, air pasang tersebut berlaku sejak semalam dan hari ini lebih tinggi sehingga menyebabkan bahagian dapur dan bilik air terutama rumah di kawasan rendah dimasuki air melepasi paras buku lali.
“Tidak semua rumah terjejas kecuali di kawasan yang agak rendah terutama berhampiran anak sungai dan padang permainan. Macam semalam air naik bemula pukul 6 pagi kemudian kembali surut kira-kira pukul 8 pagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang lagi penduduk di kawasan sama, Muthatamil, 34, memberitahu kejadian tersebut biasa berlaku, namun melihat kali ini lebih tinggi apabila melimpah hingga di halaman lima buah rumah.
“Kawasan ini sebenarnya jarang banjir, kecuali pada 2021. Cuma, air pasang kali ini penduduk pun sudah buat persediaan ada yang sudah kemas baju, barangan penting dan sebagainya. Tetapi, syukur sebab cuaca baik sebab ramai percaya hujan dan ribu berdasarkan ramalan cuaca,” ujarnya.
Selain itu, seorang pesara kerajaan tinggal di Jalan Sama Gagah 15, Safiuddin Kamarudin, 70, memaklumkan kebanyakan rumah-rumah lama terjejas teruk kerana lantainya yang rendah dan mudah dimasuki air.
“Kebanyakan rumah sudah diubah suai dan ditinggikan terutama bahagian dapur untuk elak dimasuki air sama ada ketika air pasang ataupun hujan lebat kerana limpahan air longkang. Selain itu, jalan dan lorong-lorong sekitar taman juga dinaiki air melepasi buku lali,” katanya.
Sehingga pukul 8.15 pagi tadi, banjir masih lagi melanda di sebahagian besar kawasan Pelabuhan Klang. Malah, air pasang kali ini dianggap lebih ekstrem walaupun parasnya sama seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 20 September lalu.
Hal demikian dilihat apabila jalan-jalan utama termasuk di Lebuhraya Selat Klang berhampiran Bandar Sultan Suleiman dan Kampung Rantau Panjang masih dilimpahi air dalam tempoh dua jam selepas kemuncak air pasang pada pukul 6.17 pagi.
Sementara itu, seorang operator kilang, Pasihah Bahrudin, 27, yang kerap melalui Jalan Kem setiap hari, memberitahu kejadian tersebut kali pertama berlaku menyebabkan dia lewat ke tempat kerja.
“Saya cuba lalu tadi namun terjatuh susulan terdapat lubang ditutupi air. Syukur tiada kecederaan teruk dan sudah pun memaklumkan kepada majikan atas kelewatan hari ini,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Shahirah Nasuha, 27, yang menaiki kereta memaklumkan telah terkandas sejak pukul 6.50 pagi.
“Semalam masih boleh jalan meskipun berlaku air pasang. Ini pun tidak tahu pukul berapa boleh teruskan perjalanan semula,” katanya. – UTUSAN