KUALA SELANGOR: Fenomena air pasang besar menyebabkan jalan utama di pekan Tanjong Karang di sini, dilimpahi air pagi ini.
Limpahan melibatkan laluan kedua-dua arah itu dinaiki air setinggi kira-0.2 meter, kira-kira pukul 6 pagi.
Keadaan itu mengakibatkan pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan namun masih boleh melaluinya
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, air di kawasan itu melimpah dari longkang akibat fenomena air pasang besar.
“Kejadian itu hanya berlaku sementara sebelum beransur surut. Ia kemudian surut sepenuhnya dua jam kemudian,” katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan utama itu sudah boleh dilalui semua kenderaan sepenuhnya, kira-kira pukul 9 pagi ini. – UTUSAN