Air pasang besar: Pelabuhan Klang terjejas teruk

Air pasang besar: Pelabuhan Klang terjejas teruk

LIMPAHAN air dekat Jalan Kem akibat fenomena air laut pasang besar menyebabkan pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan mereka sementara menunggu air surut di Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebahagian besar kawa­san perumahan dan perniagaan di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Selatan serta Pelabuhan Barat di Pulau Indah dilanda banjir berikutan fenomena air laut pasang besar, semalam.

Air laut dikesan naik seawal pukul 6 pagi dan mencapai tahap tertinggi 5.8 meter seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kira-kira 17 minit kemudian dan menye­babkan kesesakan di jalan-jalan utama.

Antara kawasan yang dikesan terjejas adalah seperti di Jeti Pelabuhan Klang, Lorong Berembang, Jalan Limbungan, Jalan Syahbandar, Taman Teluk Gedung Indah, Teluk Gong dan Pulau Indah.
Di Teluk Gong, kawasan perindustrian dan perkampungan hampir terputus hubungan apabila satu-satunya jalan masuk dan keluar di situ dilimpahi air melepasi 0.5 meter yang hanya boleh dilalui kenderaan besar.

Malah, turut berlaku kesesakan lebih satu kilometer (km) di kedua-dua arah apabila pengguna memberhentikan kereta masing-masing dan menunggu air surut.

Tinjauan di Taman Teluk Gedung Indah, kawasan perumahan itu mula dinaiki air dari bahagian bersebelahan anak sungai yang memasuki longkang-longkang dan menenggelamkan lebih 30 rumah di Taman Sama Gagah dan Taman Sungai Gagah.

Seorang penduduk di Jalan Sa­ma Gagah 18, Aru, 70, berkata, air pasang tersebut berlaku sejak kelmarin dan semalam lebih tinggi sehingga menyebabkan bahagian dapur dan bilik air terutama rumah di kawasan rendah dimasuki air melepasi paras buku lali.

“Tidak semua rumah terjejas kecuali di kawasan yang agak rendah terutama berhampiran anak sungai dan padang permainan. Macam semalam air naik bermula pukul 6 pagi kemudian kembali surut kira-kira pukul 8 pagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di kawasan sama, Muthatamil, 34, memberitahu, kejadian tersebut biasa berlaku namun kali ini lebih tinggi apabila melimpah hingga di halaman lima buah rumah.

“Kawasan ini jarang banjir kecuali pada 2021. Cuma, air pasang kali ini pendu­duk pun sudah buat persediaan ada yang sudah kemas baju, barangan penting dan sebagainya. Tetapi, syukur sebab cuaca baik sebab ramai percaya hujan dan ribu berdasarkan ramalan cuaca,” ujarnya.

Selain itu, seorang pesara kerajaan tinggal di Jalan Sama Gagah 15, Safiuddin Kamarudin, 70, memaklumkan kebanyakan rumah-rumah lama terjejas teruk kerana lantainya yang rendah dan mudah dimasuki air.

“Kebanyakan rumah sudah diubah suai dan ditinggikan terutama bahagian dapur untuk elak dimasuki air sama ada ketika air pasang ataupun hujan lebat kerana limpahan air longkang. Selain itu, jalan dan lorong-lorong sekitar taman juga dinaiki air melepasi buku lali,” katanya.

Sehingga pukul 8.15 pagi tadi, banjir masih lagi melanda di sebahagian besar kawasan Pelabuhan Klang. Malah, air pasang kali ini dianggap lebih ekstrim walaupun parasnya sama seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 20 September lalu.

Hal demikian dilihat apabila jalan-jalan utama termasuk di Lebuhraya Selat Klang berhampiran Bandar Sultan Suleiman dan Kampung Rantau Panjang masih dilimpahi air dalam tempoh dua jam selepas kemuncak air pasang pada pukul 6.17 pagi.

Sementara itu, seorang operator kilang, Pasihah Bahrudin, 27, yang kerap melalui Jalan Kem setiap hari berkata, kejadian tersebut kali pertama berlaku menyebabkan dia lewat ke tempat kerja.

“Saya cuba lalu tadi namun terjatuh susulan terdapat lubang ditutupi air. Syukur tiada kece­deraan teruk dan sudah pun memaklumkan kepada majikan atas kelewatan (semalam),” ujarnya.

Sementara itu, Nur Shahirah Nasuha, 27, yang menaiki kereta memaklumkan telah terkandas sejak pukul 6.50 pagi.

“Semalam masih boleh jalan meskipun berlaku air pasang. Ini pun tidak tahu pukul berapa boleh teruskan perjalanan semula,” katanya.

KAPAR, KLANG

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Pangkalan Nelayan Kampung Tok Muda, Kapar mendapati paras air laut melepasi ban sehingga melimpah ke jalan raya yang turut menghubungkan stesen janakuasa arang batu di kawasan berkenaan.

Limpahan air dilihat mengalir mulai pukul 6 hingga 6.20 pagi menyebabkan kawasan jeti dan beberapa buah kedai di sekitarnya sehingga melepasi paras buku lali.

Pemerhatian juga mendapati, walaupun air melimpah ke darat, namun ia tidak mengakibatkan banjir di stesen janakuasa berke­naan serta kawasan rumah penduduk.
Kuala Langat

Kawasan-kawasan tidak pernah terjejas akibat air pasang di Kuala Langat sebelum ini, didapati terjejas dengan limpahan air seperti di laluan ban Kampung Tongkah menuju ke Pantai Kelanang dan ruang parkir di Pantai Cunang.

Menurut Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hashila Hamzah, peman­tauan dilakukan oleh Skuad Pantas di kawasan tersebut mendapati berlaku limpahan air yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Berlaku limpahan air di parkir kenderaan di Pantai Cunang yang mana sebelum ini tidak pernah berlaku semasa air pasang besar. Tapak perkhemahan juga dipenuhi air,” katanya ketika ditemui di Pantai Morib.

Tambahnya, pemantauan Skuad Pantas bermula pukul 5 pagi hingga pukul 9 pagi, air mula melimpah pada pukul 6.17 pagi dan mencatat paras air tertinggi 5.8 meter berbanding semalam setinggi 5.7 meter.

Katanya lagi, seperti fenomena air pasang besar sebelum ini, kawasan Pantai Kelanang air mula melimpah sekitar pukul 5.30 pa­gi dan memenuhi tapak per­ke­ma­han, parkir awam dan juga melimpah hingga melepasi jalan utama pantai terbabit.

Kawasan, Istana Bahgia Morib berlaku limpahan air hingga ke jalan raya dan longkang utama.

KUALA SELANGOR

Di Tanjung Karang, air pasang besar ekstrem menyebabkan jalan utama Jalan Klang-Teluk Intan di pekan kawasan itu dilimpahi air kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Limpahan setinggi kira-kira 0.2 meteri itu menyebabkan perge­rakan trafik perlahan di kawasan tersebut, namun tidak menyebabkan kesesakan yang serius.

Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, air di kawasan itu melimpah dari longkang akibat fenomena air pasang besar.

“Kejadian itu hanya berlaku sementara sebelum beransur surut. Ia kemudian surut sepenuhnya dua jam kemudian,” katanya.

Tinjauan di kawasan itu kemudian mendapati jalan utama itu sudah boleh dilalui semua kenderaan sepenuhnya, kira-kira pukul 9 pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya