SABAK BERNAM: Lima kawasan pesisir pantai, jalan dan halaman rumah penduduk di daerah dilimpahi air laut berikutan fenomena air pasang besar hari ini.
Lokasi itu antaranya melibatkan sekitar Bagan Sungai Besar, Bagan Nakhoda Omar, kawasan rekreasi Batu 23 Sungai Nibong dan Bagan Sekinchan.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Samsol Maarif Saibani berkata, dalam pemantauan selama dua jam bermula pukul 4 pagi tadi, paras air pasang direkodkan setinggi 5.7 meter dan menyebabkan limpahan air kira-kira 0.2 meter di lokasi terlibat.
“Kawasan di Bagan Sungai Besar didapati berlaku limpahan air di jalan berdekatan Lorong 5 ke parit pembuang. Bagai kawasan Bagan Nakhoda Omar, ia melibatkan sekitar pesisir pantai dan laman rumah penduduk,” katanya kepada pemberita.
Tambah beliau, fenomena air pasang itu bagaimanapun masih terkawal dan surut sepenuhnya kira-kira pukul 6 pagi tadi namun tiada pemindahan mangsa atau pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini. – UTUSAN