Air pasang besar ekstrem: Persiapan kahwin musnah tenggelam

Air pasang besar ekstrem: Persiapan kahwin musnah ditenggelami banjir

Air pasang
SITI Khatijah Lampam meredah banjir di laman rumahnya yang ditenggelami air akibat air laut pasang besar di Kampung Parit 16 Tanjung Medan, Sungai Panjang, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Persiapan perkahwinan seorang wanita musnah sekelip mata selepas rumahnya di Kampung Parit 16 Tanjung Medan, Sungai Panjang di sini dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar hari ini.

Nasib malang itu menimpa Salmi Md. Noor, 59, yang dijadualkan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya pada 26 Oktober ini namun persiapannya musnah apabila paras air naik dalam tempoh singkat sehingga mencecah 0.4 meter, kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

“Saya melihat bahagian dapur sudah dinaiki air sebelum ia melimpah masuk ke dalam rumah. Lebih menyedihkan apabila barangan persiapan perkahwinan saya dan tujuh hantaran kepada pihak lelaki rosak akibat banjir itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Tambah Salmi, kejadian banjir kali ini disifatkan paling buruk sepanjang menetap di kampung itu sejak lebih 50 tahun lalu.

“Saya hanya tinggal bersendirian selepas kematian suami pada November tahun lalu dan bakal disatukan dengan lelaki pilihan pada Sabtu minggu depan.

“Biarpun masih bersedih, saya berharap banjir kembali surut kerana majlis kenduri kahwin akan berlangsung di rumah ini,” ujar ibu kepada tiga anak itu.

Bagi seorang lagi penduduk, Siti Khatijah Lampam, 72, dia dan suaminya, Safar Arif, 60, hanya sempat memindahkan barang dan dokumen penting.

“Rumah kami berada berdekatan dengan Sungai Bernam dan air naik terlalu cepat pagi tadi. Keseluruhan rumah dimasuki air dan saya masih terkejut dengan bah yang melanda ini,” jelasnya.

Sementara itu, Aminah Lampam, 67, berkata, kejadian banjir berkenaan hanya diketahui selepas dihubungi kakaknya.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah anak di Kajang kerana perlu menjalani pemeriksaan jantung di Hospital Serdang. Selepas menerima berita itu, saya bergegas pulang dan pilu melihat rumah sudah digenangi air,” luahnya.

Fenomena air pasang besar mengakibatkan seramai 103 mangsa banjir dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar daerah ini dan Kuala Selangor.

Kesemua mangsa melibatkan 36 keluarga dari Kampung Parit 16 Tanjung Medan, Kampung Belia 2 dan Kampung Simpang 3 Loji di Sungai Panjang di sini, selain Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang.

Tiga kampung di Sungai Panjang dilanda banjir ekoran kejadian ban berdekatan sebuah ladang di kawasan itu yang pecah sejak kelmarin.

Ia mengakibatkan air memasuki Sungai Bernam sebelum melimpah ke kawasan kebun dan rumah penduduk semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya