KUALA LANGAT: Fenomena air pasang besar esktrem dekat kawasan berhampiran pantai di daerah ini menyebabkan beberapa lokasi yang tidak pernah dilimpahi air turut terkesan.
Menurut Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hashila Hamzah, kawasan baharu yang dinaiki air kali ini seperti di simpang masuk laluan ban Kampung Tongkah menuju ke Pantai Kelanang dan parkir kenderaan di Pantai Cunang.
“Hasil pemantauan empat anggota Skuad Pantas di Pantai Cunang, berlaku limpahan air di parkir kenderaan yang mana sebelum ini tidak pernah berlaku semasa air pasang besar.
“Berlaku limpahan air di jalan masuk. Tapak perkhemahan juga dipenuhi air,” katanya ketika ditemui di Pantai Morib di sini hari ini.
Tambahnya, pemantauan Skuad Pantas bermula pukul 5 pagi hingga pukul 9 pagi, air mula melimpah pada pukul 6.17 pagi dan mencatat paras air tertinggi 5.8 meter berbanding semalam setinggi 5.7 meter.
Jelas Hashila, seperti fenomena air pasang besar sebelum ini, kawasan Pantai Kelanang air mula melimpah sekitar pukul 5.30 pagi dan memenuhi tapak perkemahan, parkir awam dan juga melimpah hingga melepasi jalan utama pantai terbabit.
“Pantai Morib dan Pantai Baru Morib tidak berlaku limpahan air. Namun kawasan Taman Harmoni air memenuhi longkang utama dan longkang rumah penduduk dan di parkir awam,”katanya.
Katanya lagi, kawasan Istana Bahgia Morib berlaku limpahan air hingga ke jalan raya dan longkang utama. Bagi kawasan Pantai Batu Laut dan Jeti Tanjung Sepat jelasnya, tiada limpahan air dilaporkan. – UTUSAN