Air laut pasang: 41 kampung berisiko dilanda banjir - Utusan Malaysia

Air laut pasang: 41 kampung berisiko dilanda banjir

PENDUDUK yang tinggal di muara sungai dan berisiko dinaiki air akibat fenomena air laut pasang tinggi dinasihatkan berhati-hati bermula 17 Oktober hingga 25 Oktober depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu telah mengenal pasti sebanyak 41 buah kampung yang berisiko dilanda banjir akibat fenomena air laut pasang tinggi yang dijangka berlaku pada 17 Oktober hingga 25 Oktober depan.

Kesemua kampung tersebut berisiko dinaiki air kerana terletak di 12 muara sungai utama di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, sepanjang tempoh itu, penduduk perlu lebih berhati-hati dan bersedia untuk berpindah sekiranya perlu.

“Berdasarkan rekod JPS Terengganu, terdapat 10 kampung berisiko banjir yang terletak di dua muara iaitu muara Sungai Terengganu dan muara Sungai Ibai.

“Kampung tersebut ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Pulau Rusa, Kampung Pak Tuyu, Tanjung Gelam, Kampung Ulu Takir, Seberang Takir, Kampung Kubang Ikan, Taman Purnama dan Kampung Kuala Ibai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia Kosmo! hari ini.

Di daerah Dungun pula, terdapat tiga muara sungai utama iaitu muara Sungai Dungun, muara Sungai Paka dan muara Sungai Sura yang melibatkan 13 buah kampung.

Kampung yang berisiko itu ialah Kuala Paka, Tebing Tembah, Durian Mentangau, Pinang Merah, Kampung Sura, Teluk Bidara, Seberang Pintasan, Che Lijah, Alor Makbah, Tanjung Jara, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, di daerah Marang terdapat dua muara iaitu Sungai Marang dan Sungai Merchang melibatkan lima kampung iaitu Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Merchang dan Kampung Pulau Rusa Baru.

Tambahnya, di daerah Besut pula, kampung yang terletak di muara sungai dan berisiko banjir ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Nail, Teluk Budu dan Kampung Pantai.

“Di Setiu, terdapat dua muara iaitu Sungai Setiu dan Sungai Merang melibatkan enam kampung iaitu Kampung Telaga Papan, Kampung Gong Batu, Pengkalan Gelap,
Kampung Fikri, Kampung Limau Lipis dan Kuala Setiu.

“Di Kemaman terdapat, dua muara iaitu Sungai Kemaman dan Sungai Kemasik melibatkan empat kampung iaitu Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Baru Kemasik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN