SHAH ALAM: Penyanyi, Aina Abdul, dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36), yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, malam tadi.
Dengan undian lebih lapan juta, Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 31, menggondol anugerah utama berupa trofi kemenangan dan sebuah kereta SUV mewah.
Penyanyi lagu Sumpah itu menganggap kemenangannya pada malam ini sebagai hadiah selepas 10 tahun bergelar anak seni.
“Terima kasih kepada ibu saya, kelab peminat, Aination. Ini untuk semua usaha anda mengundi saya tanpa jemu.
“Satu pesanan saya, jangan putus asa, percaya kepada Allah SWT ,” ujarnya dalam ucapan kemenangannya sebentar tadi.
Dalam acara berprestij itu juga Aedy Ashraf dan Fasha Sandha memenangi kategori Aktor dan Aktres Filem Popular.
Selain itu, trofi Penyanyi Lelaki dan Penyanyi Wanita Popular menjadi milik calon kegemaran ramai, Khai Bahar serta Aina Abdul.
Kumpulan Dolla, yang dianggotai Sabronzo, Tabby dan Angle berjaya mengekalkan trofi Artis Kolaborasi Duo Berkumpulan.
Bagi kategori Aktor Pembantu Filem Popular dan Aktres Pembantu Filem Popular pula dibawa pulang oleh Alif Hadi serta Raja Ema.
Kategori Aktor dan Aktres Pembantu TV Popular pula menjadi milik Shah Iskandar serta Rita Rudaini.
Aktor dan Aktres TV Popular pula diumumkan milik Hun Haqeem serta Anna Jobling.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin menepati ramalan apabila menggondol trofi Penyampai Radio Popular .
Uyaina Arshad pula diumumkan sebagai Pengacara TV Popular.
Bagi kategori Artis Lelaki Baharu Lelaki Popular menjadi milik Shah Radhy manakala trofi Artis Wanita Baharu Popular pula dibawa pulang Erysha Emyra.
Dalam pada itu, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pula diterima komposer dan pencipta lagu terkenal Datuk Hashim Said atau lebih dikenali sebagai S. Atan.
Pemenang bagi setiap kategori membawa pulang kepingan emas seberat 18 gram dan trofi
ABP36 menampilkan gandingan trio Didie Alias, Riena Diana dan Haniff Hamzah selaku pengacara – UTUSAN