Ahmad Farouk dilantik Ketua Pegawai Pelaburan baharu LTAT

Ahmad Farouk dilantik Ketua Pegawai Pelaburan baharu LTAT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pelantikan Ahmad Farouk Mohamed sebagai Ketua Pegawai Pelaburan yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

LTAT memaklumkan, beliau mempunyai lebih daripada dua dekad pengalaman dan kepakaran dalam pelaburan dan kewangan, serta pengurusan dan transformasi strategik demi memperkukuh portfolio pelaburan LTAT.

Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi berkata, pengalaman dan rekod pencapaian cemerlang Ahmad Farouk dalam sektor pelaburan akan menyumbang terhadap usaha LTAT yang berterusan dalam memperkukuh strategi pelaburan.

Jelasnya, ia bagi menuju LTAT ke arah pertumbuhan yang mampan, dan memastikan pulangan yang optimum kepada para pencarum.

“Kepimpinan beliau akan menjadi pemacu penting dalam meningkatkan daya tahan dana ini dalam landskap ekonomi yang dinamik selain penstrukturan semula aset dan pelaburan strategik selaras dengan visi jangka panjang kami untuk mengubah LTAT menjadi Dana Providen Mampan.

“Sumbangan beliau akan menyokong misi kami dalam menyampaikan nilai jangka panjang sambil meningkatkan kesejahteraan kewangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Ahmad Farouk berkhidmat sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan di Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

Sepanjang tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju strategik kumpulan itu, memacu transformasi utama serta mengetuai rundingan untuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A), di samping mengawasi pembangunan infrastruktur digital MIDF.

Beliau juga mempunyai pengalaman luas di Khazanah Nasional Berhad, di mana beliau berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dalam unit Pelaburan dan dan juga unit Pengurusan Strategik.

Semasa di Khazanah, beliau mengetuai unit sektor yang bertumpu kepada pelaburan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan kewangan Islam, serta pengurusan transaksi korporat di pasaran modal awam dan ekuiti persendirian selain memainkan peranan yang penting dalam merangka dan melaksanakan pelan strategik tahunan Khazanah.

Ahmad Farouk juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Sastera (Kepujian) dalam bidang Matematik daripada Trinity College, Universiti Cambridge.

Selain itu, asas akademik beliau yang kukuh dilengkapi dengan diploma pascasiswazah dalam Sains Aktuari dan Pengurusan Aktuari daripada City University, London, selain Sijil dalam Kewangan dan Pelaburan, serta Diploma dalam Teknik Aktuari daripada Institute of Actuaries, London. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya