IPOH: Ahli lembaga sebuah koperasi di Perak Tengah direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna jawatan untuk menyeleweng wang pelaburan berjumlah RM3.2 juta.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan SPRM semalam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk permohonan reman.
Majistret Siti Hanum Mohmad Shah membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman suspek sehingga Sabtu depan.
Tempoh reman itu dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 10.24 pagi dengan berpakaian lokap SPRM sebelum dibawa keluar pada pukul 10.50 pagi.
Difahamkan, suspek yang juga pegawai khas projek ditangkap kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan sebagai ahli lembaga koperasi dengan mengarahkan wang pelaburan masing-masing berjumlah RM2.5 juta dan RM700,000 dari dua buah syarikat dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik isteri dan adiknya, sedangkan projek itu tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan. – UTUSAN