Ahli keluarga pilu sambut kepulangan nelayan hanyut - Utusan Malaysia

Ahli keluarga pilu sambut kepulangan nelayan hanyut

MOHD. Syukri Mokhtar dipeluk ibunya, Zawiyah Talib setelah tiba di Pengkalan Hadapan Carilamat Zon Maritim Kemaman, di Kemaman, petang ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Dua lagi nelayan yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan selepas bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan bateri, selamat tiba di Pengkalan Hadapan Carilamat Zon Maritim Kemaman, petang ini.

Dua nelayan itu, Mohd. Syukri Mokhtar dan bapa saudaranya, Mohd. Nasir Yusof, masing-masing berusia 46 tahun selamat tiba dengan bot tersebut kira-kira pukul 4.40 petang ini dengan disambut ahli keluarga mereka.

Terdahulu, tekong bot, Mokhtar Yusof, 69, selamat tiba kira-kira pukul 11 pagi tadi selepas dibawa pulang dengan Bot Perkasa 49 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berikutan kesihatannya yang kurang baik.

Bot yang dinaiki tiga bersaudara itu ditemukan oleh nelayan tempatan pada kedudukan 25 batu nautika tenggara Kuala Kemaman berhampiran Perairan Kuantan, kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas Mokhtar bertindak melepaskan suar kecemasan.

Nelayan itu kemudiannya memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa sebelum mereka melaporkan kepada Maritim Malaysia kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Bateri bot tempatan kelas A itu kemudiannya digantikan sebelum diiring pulang oleh bot Maritim Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, Op Carilamat ketiga-tiga mangsa ditamatkan kira-kira pukul 5 petang ini selepas kesemua nelayan selamat ditemui.

“Bot nelayan ini ditemukan kira-kira pukul 8.30 pagi tadi selepas bot Maritim Malaysia ke lokasi bot tersebut yang tiada jaringan telekomunikasi.

“Ketiga-tiga nelayan itu berada dalam keadaan baik namun tekong bot mengalami demam dan dibawa pulang lebih awal,” katanya.

Semalam, media melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang daripada menangkap ikan di perairan Kerteh dekat sini, sejak Ahad lalu.

Ketiga-tiga nelayan itu dikatakan keluar dengan bot nelayan tempatan jenis A dan kebiasaannya mereka akan pulang setelah dua hari di laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya