KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia baharu.
Ucapan itu dizahirkan Seri Paduka Baginda berdua menerusi poster yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Prabowo mengangkat sumpah hari ini sebagai Presiden Indonesia yang kelapan.
Pemimpin berusia 73 tahun itu mengangkat sumpah di Parlimen sebelum menuju ke Istana Presiden di mana Joko Widodo atau Jokowi akan menyerahkan tampuk pemerintahan selepas sedekad berkuasa.
Majlis itu turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan. – UTUSAN