Agong perkenan pelantikan dua perwakilan diplomatik Malaysia baharu

Agong perkenan pelantikan dua perwakilan diplomatik Malaysia baharu

SULTAN Ibrahim berkenan melantik dua orang perwakilan diplomatik Malaysia yang baharu hari ini. - GAMBAR IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melantik dua orang perwakilan diplomatik Malaysia yang baharu hari ini.

Mereka ialah  Datuk Dr. Shazelina Zainul Abidin sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada dan Rizany Irwan Muhamad Mazlan sebagai Duta Besar Malaysia ke Algeria.

Istiadat pelantikan itu berlangsung di Istana Negara hari ini yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, Shazelina sebelum ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah sejak tahun 2023.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu merupakan Duta Besar Malaysia ke Senegal (2018-2021) dan pernah ditugaskan di Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York dan Kedutaan Besar Malaysia di Washington D.C., Amerika Syarikat.

Beliau berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik dari University of Sheffield, United Kingdom dan dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta ditempatkan di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1996.

“Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Institut Diplomasi dah Hubungan Luar Negeri (IDFR), Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam dan Setiausaha Bahagian Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Sosial.

“Selain itu, beliau pernah ditugaskan di Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar, Bahagian Perancangan Strategik, Bahagian Politik Pelbagai Hala dan Bahagian Eropah,” katanya.

Sementara itu, Rizany Irwan pula yang berkelulusan University of Hertfordshire, United Kingdom, merupakan Setiausaha Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan sejak tahun 2022.

Wisma Putra memaklumkan, beliau yang berasal dari Melaka itu pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Filipina.

“Penempatan luar negara beliau yang lain adalah sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar.

“Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Protokol, selain pernah ditugaskan di Jabatan Penyelarasan dan Pelaksanaan, Bahagian Kewangan, Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan, Bahagian Hal Ehwal Wilayah dan Maritim, Bahagian Adjudikasi dan Timbang Tara serta Bahagian Amerika,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya