Agong kurnia Dr Syed Muhammad Naquib gelaran profesor diraja

Agong kurnia gelaran profesor diraja kepada Dr. Syed Muhammad Naquib

SULTAN Ibrahim bersama Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Perdana Menteri Anwar ibrahim ketika majlis pengurniaaan watikah di Istana Negara hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan Profesor Diraja kepada tokoh intelektual Islam, Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara, hari ini.

Pengurniaan watikah terhadap Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 93 adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja berikutan jasa serta sumbangan beliau terhadap negara terutama dalam pendidikan Islam.

“Profesor Diraja Muhammad Naquib Al-Attas merupakan Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) dan juga seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani serta dihormati di dalam dan luar negara.

“Beliau juga merupakan individu penting yang membentangkan konseptualisasi universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Makkah pada tahun 1977 yang telah membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia,” kata kenyataan yang dipetik menerusi Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman.

Menurut kenyataan itu, Muhammad Naquib Al-Attas turut menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim di atas kurniaan itu.

Muhammad Naquib Al-Attas menjadi individu kedua di negara ini memperoleh gelaran profesor diraja.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN