PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis Tahun 2024 di Istana Negara, hari ini.
Dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) Kehormat kepada Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo dan Ketua Polis Filipina, Rommel Francisco D Marbil.
Seri Paduka turut berkenan mengurniakan PGPP kepada empat pegawai kanan polis iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Khaw Kok Chin; Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, Datuk Samsudin Basir; Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Datuk Ts. Ahmad Ramdzan Daud dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar & Sumber Manusia), Datuk Mohd. Roze Shaari.
Pada istiadat itu juga, Seri Paduka berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) kepada lapan penerima, Pahlawan Pasukan Polis (PPP) (18 penerima), Kesatria Pasukan Polis (KPP) (10 penerima) dan Bentara Pasukan Polis (BPP) (58 penerima).
Penganugerahan DKPP diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan di atas jasa dan pengorbanan dicurahkan di dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah;
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan. – UTUSAN