PETALING JAYA: Agenda reformasi dan tatakelola menjadi tekad pentadbiran Kerajaan Perpaduan dalam merangka hala tuju Malaysia ke arah masa depan yang lebih maju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu hal-hal berkaitan integriti dan anti rasuah terus menjadi keutamaan pentadbiran hari ini.
Menurut beliau, perkara itu antara dikongsi Perdana Menteri sewaktu sesi perjumpaan bersama ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara di pejabat Perdana Menteri hari ini.
“Agenda reformasi tatakelola pentadbiran kerajaan selain hal berkaitan integriti dan anti rasuah terus menjadi tekad dan keutamaan kerajaan dalam merencana hala tuju negara yang lebih baik dan maju.
“Walhasil, pelbagai isu telah dibincangkan dalam menjulang agenda reformasi yang dirancang termasuk mengadakan sesi libat urus selain mengesyorkan cadangan penambahbaikan agar usaha dalam mereformasikan institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya dalam Facebook beliau.
Terdahulu, anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri di Putrajaya.
Antara agenda pertemuan itu adalah pembentangan Laporan Kerja Separuh Penggal Jawatankuasa.
Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara yang dipengerusikan Datuk Arman Azha Abu Hanifah terdiri daripada tujuh anggota.- UTUSAN