PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merencanakan pelbagai agenda dan program untuk memperkukuh jalinan kerjasama dalam pendidikan tinggi menjelang kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, antara agenda yang direncanakan termasuk mesyuarat khas bersama menteri-menteri pendidikan tinggi ASEAN, kerana kelaziman sebelum ini hanya tertumpu kepada aspek pendidikan melibatkan Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).
“Kebanyakan negara ASEAN menerima pakai cadangan Malaysia untuk mengkhususkan perbincangan dalam konteks pendidikan tinggi dalam ASEAN.
“Jadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta supaya kita aturkan program itu supaya ada mesyuarat khas yang berkaitan dengan pendidikan tinggi juga melibatkan menteri (pendidikan tinggi) daripada negara ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Konvensyen Akademia 2024 anjuran Akademi Profesor Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, menerusi ucapannya, Zambry menekankan tentang kepentingan penglibatan setiap institusi pengajian tinggi dalam negara untuk menjayakan agenda kepengerusian ASEAN secara menyeluruh.
“Sebagai seorang yang pernah menjadi Menteri Luar, saya dapat lihat secara luas mengenai pandangan yang bakal dikongsikan ketika kepengerusian ASEAN.
“Saya juga telah maklumkan kepada Kementerian Luar Negeri agar agenda pendidikan tinggi dijadikan keutamaan dan semua warga akademia harus jayakan misi kita,” katanya. – UTUSAN