Terkenal dengan suara yang merdu tatkala mendendangkan lagu-lagu galau, penyanyi popular, Afgan sememangnya mempunyai peminat yang ramai di Malaysia.
Mana tidaknya, setiap kali penyanyi yang berasal dari Indonesia ini mengumumkan bakal mengadakan konsert di sini, pasti penuh panggung acara tersebut.
Selain memiliki suara yang sedap untuk didengar, Afgan turut mempunyai rupa paras yang mampu memikat hati terutamanya peminat wanita.
Baru sahaja selesai membuat konsert bersama Lyodra tempoh hari lalu, penyanyi lagu Jodoh Pasti Bertemu itu sudah mengumumkan konsert yang seterusnya.
Katanya, kali ini dia bakal mengadakan konsert solo berskala besar buat pertama kali di Setia Spice Pulau Pinang pada 28 Disember tahun ini.
Meskipun teruja, Afgan mengakui dia amat gementar mengenangkan dia bakal menghiburkan peminatnya di tempat yang mampu memuatkan kapasiti penonton yang lebih besar berbanding konsert sebelumnya.
“Saya tidak pernah adakan konsert dengan jumlah penontonnya mencecah 7,000 orang.
“Kalau di Indonesia, jumlah penonton paling ramai saya pernah buat sekitar 5,000 orang. Jadi, ini merupakan skala paling besar sepanjang karier saya,” katanya.
Tambah Afgan lagi, dia tetap tidak akan menghampakan peminat di konsert mega pertamanya memandangkan dia mendapat sokongan daripada pasukan dan pihak penganjur.
“Saya akan berasa takut kalau di tempat yang besar, sebab sebagai seorang manusia sudah tentu saya juga ada rasa tidak yakin bila membuat persembahan bila di hadapan ramai orang.
“Namun saya yakin dengan adanya pasukan dan pihak penganjur yang selalu memberi sokongan saya akan cuba buat yang terbaik untuk peminat,” jelasnya.
Hadir ke kelas vokal, rutin persiapan konsert
Ditanyakan mengenai persiapan menjelang konsert, Afgan menyatakan dia sering bersenam dan masih menghadiri kelas vokal meskipun sudah lama bertapak dalam industri muzik.
“Saya bersenam setiap hari untuk membantu pernafasan dalam nyanyian. Saya juga belajar vokal walaupun jadual konsertnya padat, saya tetap pergi ke kelas vokal.
“Kalau tidak susah untuk menyanyikan 25 lagu. Bagi saya, menghadiri kelas vokal itu perlu kerana dia membantu memantapkan otot suara. Itu sudah menjadi rutin saya setiap kali menjelang konsert,” kongsinya.
Sementara itu, penyanyi lagu Terima Kasih Cinta itu juga tidak meletakkan sebarang ekspektasi untuk konsertnya itu namun, dia terbuka untuk mengadakan hari kedua sekiranya mendapat sambutan yang baik.
“Kalau tiketnya habis cepat, saya terbuka untuk mengadakan hari kedua. Saya suka membuat persembahan untuk peminat saya, jadi tiada masalah untuk saya,” jelasnya.
Ditanyakan mengenai artis jemputan, Afgan mengakui dia sudah mempunyai beberapa nama calon, namun enggan mendedahkan memandangkan pihak pengurusan masih memeriksa jadual mereka terlebih dahulu.
“Ada cuma saya belum boleh bagitahu sebab kami masih menunggu jadual mereka. Lagipun, kebanyakan calon yang ada sudah ada perancangan hujung tahun.
“Saya masih mencari. Tetapi, saya lebih selesa sekiranya dapat bekerjasama dengan mereka yang sudah pernah digandingkan bersama,” katanya.