KANGAR: Orang ramai khususnya penduduk di kawasan pesisir pantai sekitar Kuala Perlis dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan menggelakkan sebarang aktiviti air susulan fenomena air pasang besar melanda negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, saranan itu demi keselamatan semua pihak khususnya daripada ancaman haiwan berbisa dan risiko lemas susulan peningkatan paras air ekoran fenomena tersebut.
Beliau berkata, selain itu, peringatan tersebut juga adalah bagi menggelakkan sebarang risiko ancaman penyakit yang dibawa menerusi limpahan air laut yang bercampur itu.
“Kalau kita lihat, semasa fenomena air pasang besar ini, bukan sahaja penduduk setempat malah orang luar juga datang ke kawasan Kuala Perlis ini untuk bermain dengan limpahan air ini.
“Oleh itu, saya nasihatkan semua pihak agar dapat berwaspada dan elakkan daripada bermain dengan limpahan air yang dibawa menerusi fenomena ini,” katanya di sini hari ini.
Abu Bakar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan video menyaksikan penduduk dan orang awam memenuhi kawasan Dataran Semarak, Kampung Warna Warni Seberang Ramai, di sini, sewaktu fenomena air pasang besar, semalam.
Suasana bagaikan pesta itu dirasai apabila lebih 2,000 penduduk dilihat bermandi manda dan melakukan aktiviti air sewaktu limpahan air mula memenuhi ruang dataran berkenaan.
Fenomena air pasang besar melanda Perlis dijadual bermula dari 16 sehingga 22 Oktober di mana paras tertinggi air mencecah sehingga 3.7 meter pada, awal pagi semalam.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, pihaknya juga berharap penduduk yang terjejas dengan fenomena itu dapat mematuhi arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa khususnya jika diarahkan berpindah.
“Bagi rumah yang dinaiki air dan mereka tidak berhasrat untuk tidak pindah, saya nasihatkan agar mereka pastikan semua dokumen penting dijaga, peralatan elektrik berada pada kedudukan selamat dan menjaga keselamatan daripada haiwan berbisa,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, Pusat Khidmat ADUN Kuala Perlis bersama agensi berkaitan dan Jawatankuasa Perlis Bersih juga akan membantu menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa terjejas dengan fenomena itu selepas ini.
Katanya, langkah itu adalah bagi mengurangkan bebanan ditanggung oleh mangsa-mangsa terlibat.
“Selain itu, saya juga turut mempunyai perancangan bagi melaksanakan satu program gotong-royong sempadan bersama pihak Thailand dengan skala besar selepas ini,” katanya.-UTUSAN