ADUN Bukit Lanjan fokus selesai isu kesesakan

ADUN Bukit Lanjan fokus selesai isu kesesakan

PEI LING ketika mengadakan lawatan di sekitar kawasan yang dilanda banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAYANYA santai bersahaja umpama berbual bersama rakan ketika ditemui baru-baru ini dan itu seoalah olah menjadi perwatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling.

Malah,  Pei Ling yang jelas begitu mesra dan fasih berbahasa Melayu memberi penerangan lengkap segalanya tentang kawasan di bawah jagaan beliau.

Maka tidak hairanlah beliau cukup disenangi penduduk di kawasannya tanpa mengira latar belakang dan kaum sama ada kaum Melayu, India atau Cina

Memenangi kerusi DUN Bukit Lanjan dengan majoriti sebanyak 41,227, undi, beliau tidak kekok untuk bertemu rakyat menerusi majlis tertentu seperti perkahwinan biarpun berlainan bangsa.

“Pendekatan saya bersama rakyat dalam tempoh setahun di Bukit Lanjan dibuat secara menyeluruh. Saya akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi jemputan atau apa juga majlis yang melibatkan penduduk di Bukit Lanjan.

“Tidak kira majlis perkahwinan, sukan rakyat atau majlis kematian tanpa mengira siang atau malam, mereka bersama-sama saya. Jadi, sokongan moral dan lain-lain amat penting,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Pei Ling, biarpun baru setahun memegang jawatan sebagai ADUN Bukit Lanjan, beliau sudah mempunyai tanggungjawab besar selain mahu mencapai visi dan misi untuk semua penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya masih ingat lagi sebaik menang kerusi DUN di sini, terus berlaku banjir kilat di beberapa kawasan dalam DUN saya walhal belum angkat sumpah lagi pada masa itu.

“Jadi, tanpa berlengah saya terus mencari jalan penyelesaian masalah berkenaan. Lagipun saya mahu berkhidmat, bukannya bercakap banyak dan memberikan pelbagai janji, kemudian isu sama timbul lagi pada masa depan,” jelasnya.

Di samping itu, kata Pei Ling, beliau juga memberi fokus mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan yang dikenal pasti.

“Antaranya Jalan Persekutuan 54 iaitu antara jalan utama yang berada dalam kawasan DUN Bukit Lanjan. Ia berlaku kesesakan disebabkan pembangunan pesat dan keluasan jalan tidak ditambah.Begitu juga dengan keadaan jalan.

“Jadi, saya sudah merencanakan penyelesaian jangka masa panjang dan pendek. Untuk jangka masa panjang ia lebih kepada reka bentuk jalan itu. Perkara ini sudah dibawa ke Kementerian Kerja Raya,” jelasnya.

Pei Ling pada masa sama berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk memohon pembinaan fly over (jejambat) di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun Pei Ling berkata, kawasan DUN Bukit Lanjan yang sesak dan terletak berhampiran bandar serta kawasan strategik di Selangor sedikit sebanyak turut memberi kelebihan kepada penduduk DUN Bukit Lanjan.

“Akses ke ibu negara dan sekitar Lembah Klang lebih mudah dan menyeluruh. Kita ada transit aliran ringan (LRT) sebagai contoh dan juga jaringan sistem perhubungan yang baik.

“Jadi, kita memang lokasi yang strategik di tengah-tengah kawasan membangun. Penduduk dapat bergerak ke kawasan utama di sekitar dalam tempoh yang tidak terlalu lama,” jelasnya.

Disebabkan itu juga, katanya, kawasan Bukit Lanjan turut menjadi tempat sesuai bagi sektor ekonomi perusahaan kecil sederhana (PKS), sekali gus memberi nilai tambah kepada golongan tertentu.

“Setakat ini, saya mewujudkan bengkel untuk kaum wanita yang mahu menjana ekonomi dalam sektor berkenaan.

“Sebagai contoh bengkel membuat kek dan pastri . Kita mengajar mereka agar dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang dengan adanya kemahiran tambahan berkenaan”katanya.
Mengenai sektor yang menyumbang kepada aspek sosial dan pelancongan, DUN Bukit Lanjan bertuah dengan adanya Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

“FRIM ini seperti kita tahu antara tempat terbaik untuk mendekatkan diri dengan habitat semula jadi dan alam sekitar.

“Pengunjung sama ada penduduk tempatan dan orang luar dapat melihat pelbagai jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Di samping itu, di FRIM juga mempunyai program pendidikan. Justeru, ia sedikit sebanyak memberi limpahan ekonomi kepada kawasan ini,” terangnya.

Biodata:
Nama: Pua Pei Ling
Umur:33 tahun
Pendidikan:Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, INTI International University

Jawatan
2013-2018:
• Setiausaha Sulit kepada
ADUN Rawang Gan Pei
Nei
• Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT)
Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
2018-2023:
• Pegawai Perhubungan Perkampungan Daerah Gombak

2023- sehingga sekarang:
• ADUN Bukit Lanjan
• Ketua Srikandi Selangor PKR
• Pengarah Strategik Cabang Damansara Parti Keadilan Rakyat
• Ahli Jawatankuasa
Sistem Bantuan
Kewangan Rumah Ibadat
Lima Agama (LIMAS)
Selangor

Dalam aspek kebajikan, Pei Ling berkata, Pejabat DUN Bukit Lanjan sentiasa memberikan perhatian terhadap keperluan asas rakyat seperti pemberian bakul makanan, bantuan kewangan, kerusi roda.

“Apabila semua elemen keperluan, orang muda dan pembangunan perniagaan disediakan, Bukit Lanjan mampu menjadi salah sebuah kawasan yang mempunyai kemudahan serba serbi kepada penduduk,”ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya