Kami tidak tinggal bersama, kata Adira menepis isu tinggal dengan bekas suami

Kami tidak tinggal bersama, kata Adira menepis isu tinggal dengan bekas suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Jangan risau, kami tidak tinggal bersama.”

Demikian jawapan penyanyi dan pelakon, Adira Suhaimi, yang menjawab spekulasi tinggal sebumbung dengan bekas suami, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.

Jelas Adira, dakwaan tinggal bersama hanya disebabkan mereka sering live di TikTok bersama adalah tidak benar dan tidak wajar.

“Saya tinggal bersama keluarga. Yang ‘duduk’ di rumah itu 14 orang semuanya, termasuklah adik beradik, anak buah dan pembantu saya.

“Kami tidak berdua-duaan ketika live di TikTok. Ramai yang menemani kami. Dan kami hanya live bersama ketika dia (Datuk Red) datang ziarah anak-anak.

“Ada juga masanya saya tolong dia berniaga , buat live ketika kami berada di stor menyimpan stok barang jualannya. Itu pun ramai yang menemani kami.

“Jangan risau, selamat. Biasalah, netizen akan bercakap mengenai hal ini, kami faham perkara itu. Tapi kalau mahu komen, tengok dahulu rakaman live itu daripada awal,” kongsinya.

Adira berkata demikian pada sidang media konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku di Kuala Lumpur, semalam.

Menjawab tentang rujuk semula dengan Datuk Red, Adira memaklumkan setakat ini tiada perancangan ke arah itu.

“Susah untuk saya jawab mengenai hal ini. Perceraian ini sudah tertulis. Ia berlaku sekelip mata.

“Saya masih bergelar ibu tunggal, dan kami sedang menjalani kehidupan masing-masing. Kalau ada rezeki, berbaik. Kalau tak ada, jalan terus,” kongsinya.

Mengulas tentang konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku, Adira memaklumkan teruja untuk berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi hebat lain yang berasal dari negeri di bawah bayu.

“Ini pertama kali artis Sabah disatukan dalam konsert mega. Disebabkan itu saya terus bersetuju apabila ditawarkan untuk turut serta.

“Peluang ini tak patut dilepaskan. Selepas ini kami akan duduk satu meja untuk bincangkan tentang konsep persembahan,” jelasnya.

Konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 30 November ini turut menampilkan Bella Astillah, Marsha Milan, Stacy, Wani Kayrie, Nikki Palikat dan Didi Astillah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN