THAGHUT muncul di layar ketika negara ini sedang tawar menerima berita aneh membabitkan penunggang agama popular.
Daripada ‘sailang duit’ derma, kes cabul sampailah kultus agama semuanya muncul bertimpa timpa.
Ketika itulah Thaghut tiba-tiba jadi sangat relevan dan mengena, seolah-olah menunjukkan apa yang terjadi jika seorang sosok yang dikagumi, dipuja rupanya menyimpan rahsia paling gelap dan berbahaya.
Dengan deretan filem horror dalam sejarah filemografi, pengarahnya, Bobby Prasetyo tampil dengan naskhah pengamal ajaran sesat dan pemuja syaitan bernama Abah Mulya.
Ia menceritakan tentang Abah Mulya,memiliki kuasa istimewa yang boleh menyembuhkan orang sakit, membuang syaitan dan menjadikan seseorang itu kaya.
Dia kemudian dipuja dan menjadi sangat terkenal. Abah Mulya dianggap sebagai seorang selebriti sehingga sebuah program khas mengenainya ditayangkan di saluran televisyen.
Dia diminati ramai termasuklah seorang pelajar madrasah bernama Ainun. Adegan pembukaan filem ini memaparkan sebuah ladang memberi aura filem seram yang menjanjikan.
Namun, selepas 10 minit filem berjalan, saya mula melepaskan keluhan pertama saya.
Kemudian beberapa minit berlangsung sehinggalah saya mula terfikir adakah saya sedang membuang masa?
HURA-HARA
Walaupun Thaghut memberikan kesan solekan hantu yang wajar dipuji. Namun, semua itu tidak boleh menyelamatkan naskhah filem ini yang huru hara kerana plot dan garapan naskhahnya yang sangat longgar.
Ada banyak momen yang ‘eh?’ saya temukan sepanjang filem ini. Contohnya, entah bagaimana sebuah surau lama yang ditinggalkan boleh mempunyai sistem bunyi yang boleh berfungsi baik.
Bagaimana satu kampung disumpah telinga berdarah setiap kali mendengar azan kemudian boleh sama-sama melaungkan azan demi melawan syaitan?
Bagaimana pula Rahmat si budak kecil dalam naskhah ini boleh sekejap begitu motivasi membanteras hantu, seolah olah terlupa ibunya sudah mati? Rahmat mengambil masa sangat lama untuk menangisi kematian ibu.
Paling mustahak sekali, saya tidak pasti mengapa dialog filem ini sangat cringe dengan ceramah agama yang dibuat-buat.
Tidak menyentuh dan halus bercakap kepada khalayak. Ditambah pula dengan ayat ‘kita harus pergi dari sini’ yang diulang seribu kali. Begitu juga ayat ‘ada sesuatu yang aneh di sini’.
Begini sahajalah, penonton sudah tahu memang ada yang tidak kena di tempat itu. Kaedah ‘show don’t tell’ lebih mujarab menghidupkan naskhah.
Tidak perlulah beratib dialog sama yang tidak memberi impak apa-apa. Bukan itu sahaja, daripada aspek lakonan nampaknya semuanya okay sahaja tiada yang benar-benar terlalu menonjol.
Contohnya, Yasmin Napper yang bagus membawakan adegan dirasuk tapi ‘meh’ di kebanyakan babak.
Takkanlah begitu sahaja reaksi Ainun; tenang dan hanya berkerut sedikit ketika tangannya ditusuk keris ketika di dalam gua? Saya yakin Arbani pelakon yang bagus cuma mungkin filem ini gagal menonjolkan kredibilitinya.
Bahkan karakter Bagas tidak kukuh menjadikan beberapa babak lakonannya terasa tidak seram langsung. Lebih kepada sebuah lelucon.
Saya sudah menonton banyak filem seram bagus negara seberang tapi Thaghut tidak mungkin masuk ke dalam senarai.