Sejak kebelakangan ini, kisah perceraian dalam kalangan pasangan selebriti sering menjadi sorotan.
Mana tidaknya, setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan rumah tangga yang harmoni dan berkekalan sehingga ke akhir hayat bersama.
Namun, sudah menjadi lumrah manusia, ujian dan cabaran itu tidak akan terlepas dalam setiap fasa kehidupan dalam mengejar bahagia. Hal ini juga bukan berlaku pada selebriti sahaja, ada juga pasangan biasa yang melalui fasa yang sama.
Berbeza pula dengan pasangan selebriti, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, di saat isu rumah tangga orang lain menjadi sebutan, nama mereka sering dipetik dalam kalangan netizen sehingga digelar happy couple.
Selama 11 tahun mendirikan rumah tangga, tidak pernah sekali pun kita mendengar pasangan ini melalui fasa sukar sepanjang melayari bahtera perkahwinan bersama.
Namun pemilik nama Sharifah Nor Azean, 41 ini berkata, dia dan Awal juga sama seperti pasangan lain yang berusaha mempertahankan perkahwinan setiap kali berdepan dengan ujian.
“Kami bukanlah pasangan bahagia sangat. Ada masa berdua pun berusaha juga sebab ada sahaja ujian yang kami lalu setiap hari. Tetapi, kami akan cuba atasi setiap ujian itu sebaik mungkin.
“Memang betul bila sudah kahwin lebih mencabar. Dia bukan lagi lama, lagi harmoni tapi lebih banyak ujian dan gaduhnya sebab kita jangka macam-macam dari pasangan kita.
“Bagi saya, bukan tentang pasangan tetapi bagaimana kita sendiri untuk kekal gembira. Kalau kita sentiasa gembira pergaduhan yang berlaku akan kurang. Selain komunikasi, faham pasangan masing-masing juga penting,” katanya.
Pertahankan sehabis baik
Tambah Awal, dia juga sering mengingatkan dirinya untuk kekal mempertahankan perkahwinan mereka dengan cuba perbaiki setiap masalah sebaik mungkin demi anak-anak.
Awal bagaimanapun berpendapat perceraian merupakan jalan terakhir bagi setiap pasangan yang sudah berusaha sehabis baik untuk keluar dari situasi toksik dalam rumah tangga.
“Setiap orang ada hak dalam memilih pasangan hidup, kalau sudah tidak bahagia, buat apa hidup dalam hubungan yang toksik?
“Saya selalu pesan dengan Scha, walaupun kita ada kuasa untuk berpisah tetapi banyak faktor yang perlu difikirkan apatah lagi kami sudah ada dua anak, ada keluarga.
“Sebaik-baiknya kalau buat sesuatu keputusan meskipun dalam keadaan marah, kami cuba selesaikan dengan baik. Perceraian itu adalah jalan terakhir.
“Selagi boleh diselesaikan atau diselamatkan, lebih baik selamatkan. Tak kisah jika tidak bertegur beberapa hari, tetapi lepas itu kami akan bersemuka dan saling meminta maaf,” jelasnya.
Ruang untuk bertenang
Sementara itu, Awal juga berpendapat setiap pasangan perlu mengambil ruang sebagai tempoh bertenang sebelum membuat sebarang keputusan dan perbincangan.
Kata Awal, dia sering berbuat demikian untuk bertenang dan muhasabah diri terhadap salah faham yang berlaku.
“Scha selalu tempoh dia reda dalam satu jam sahaja, tetapi saya sampai tiga hari. Saya suka berfikir sendiri, kadang lama sikit merajuknya. Masa itu saya gunakan untuk berfikir dan muhasabah semula diri saya. Bila sudah tahu saya yang bersalah, saya akan bersemuka dengan dia.
“Cara kami memujuk juga berbeza. Kalau Scha, dia tak pujuk melalui percakapan tetapi menerusi sikap. Dia pujuk dengan cara masakkan saya, sediakan air dan lain-lain lagi,” jelasnya.
Untuk rekod, Scha dan Awal telah berkahwin pada 4 Mei 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Lara Alana, 10, dan Lyla Amina, 3.